SPRM: Semua parti disyor hantar nama calon PRU13 untuk ditapis
20 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR)
mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan
bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk ditapis atau
melalui proses pemeriksaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM).
Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan
calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain
mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau
parti di belakang calon itu.
"Kita mengambil semangat bahawa semua parti telah menyatakan sokongan
untuk memerangi gejala rasuah. Maka itu, kami mengharapkan sokongan
semua pihak dalam soal ini," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat panel itu di sini, hari ini.
Beliau berkata tapisan itu membabitkan semua calon dari semua parti
sama ada mereka yang sudah menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) yang bakal dicalonkan semula atau pertama kali
bertanding.
Menurutnya mekanisme tapisan atau pemeriksaan itu akan ditentukan oleh pihak SPRM.
Dalam pada itu, Johan berkata PPPR turut mencadangkan supaya semua
anggota pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta anggota
keluarga terdekat tidak melibatkan diri dalam permohonan untuk kontrak
kerajaan.
Beliau berkata cadangan itu untuk mengelakkan berlakunya konflik
kepentingan dan juga menutup ruang dan peluang bagi perlakuan rasuah.
PPPR turut mengesyorkan agar semua Anggota Parlimen dan Adun
mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen
mereka terhadap perang melawan rasuah.
"Mereka bukan sahaja harus berbuat demikian sebelum menjawat jawatan
tetapi juga setelah setiap tahun semasa menjawat jawatan. Tidak ada
pengecualian dalam hal ini," katanya.
Sementara itu, Johan berkata program jabatan angkat akan diperluaskan
ke jabatan dan agensi lain dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah.
Buat masa ini, katanya PPPR telah mengadakan siri perbincangan dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Ia diharapkan dapat membaiki nama baik jabatan dan agensi berkenaan di mata rakyat termasuk soal persepsi," katanya.
Selain itu, PPPR yang bermesyuarat hari ini turut berpendapat bahawa
pemberian dalam bentuk apa sekalipun termasuk hamper pada hari-hari
perayaan, patut dihentikan walau apa pun niat dan motifnya.
"Kami menyedari pemberian cara ini adalah sebahagian daripada budaya
rakyat negara ini. Bagaimanapun, kami berpendapat ada kemungkinan bahawa
pemberian ini digunakan bagi tujuan tertentu sebagai 'mengambil hati'
atau pujukan," katanya.
Memandangkan penjawat awam mempunyai pekeliling khusus kerajaan
berkaitan hal itu, Johan berkata PPPR menyeru agar pihak swasta merangka
tatacara khusus mengenai hal itu sesuai dengan konsep tadbir urus dan
amalan baik bagi meningkatkan integriti pegawai.
PPPR turut mengesyorkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan
kerajaan tempatan menggunakan model DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)
atau mana-mana model yang telus dan baik bagi mengelakkan rasuah dalam
urusan pemberian lesen
Bazar Ramadan serta bazar lain sewaktu musim perayaan.- Bernama
Bazar Ramadan serta bazar lain sewaktu musim perayaan.- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment