• pemilihan PKR
1 / 1
BAGAN SERAI - Kira-kira 70 peratus ahli PKR cabang Bagan Serai didakwa akan memboikot pemilihan PKR dan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang bakal berlangsung pada 4 Mei ini.

Naib Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Abdul Malek Abdul Latif berkata, tindakan boikot tersebut disuarakan sebahagian besar ahli cabang itu dari kawasan luar bandar berikutan perasaan tidak puas hati mereka berhubung keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat yang menetapkan Dewan Arowana, Hotel Kelisa sebagai lokasi MATC dan pemilihan parti.


Menurutnya, lokasi itu jauh bagi pengundi luar bandar berbanding lokasi asal diputuskan dalam mesyuarat parti di peringkat cabang iaitu Dewan Haji Abdul Wahab Nor, Masjid Tinggi di sini atau lebih dikenali sebagai Markas Pas Cawangan Masjid Tinggi.


“Keputusan JPP itu menyebabkan pengundi luar bandar yang mewakili lebih 70 peratus ahli PKR berasa terpinggir dan kecewa kepentingan mereka tidak diambil kira.


“Bayangkan jika pemilihan dibuat di Hotel Kelisa, pengundi dari kawasan Dun Gunung Semanggol terpaksa tempuh perjalanan pergi balik sejauh 56 kilometer, sedangkan anggaran jarak perlu ditempuh pengundi dari semua Dun sekiranya pemilihan dibuat di Markas Pas kawasan Bagan Serai hanya lingkungan 12 kilometer.


“Justeru, JPP perlu bersikap adil kepada semua pengundi parti, bukan hanya kepada calon tertentu,” katanya di sini semalam.


Hadir sama, Pemangku Ketua PKR Cabang Bagan Serai, Munawir Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pemilihan PKR cabang itu, Ahmad Zaki Hussin.


Abdul Malek berkata, mesyuarat cabang itu pada kali pertama mencadangkan tiga lokasi untuk diadakan pemilihan parti dan mesyuarat JPP Pusat iaitu Dewan Cina Jalan Jeti, Hotel Kelisa dan Markas Pas cawangan Masjid Tinggi.


Menurutnya, mesyuarat kali kedua memutuskan lokasi Markas Pas cawangan Masjid Tinggi dijadikan pilihan utama perlaksanaan proses pemilihan parti pada 17 April lalu.


“Bagaimanapun, keputusan PKR cabang ditolak oleh JPP Pusat atas alasan perlaksanaan pemilihan parti tidak mahu melibatkan parti lain.


“Lebih mengejutkan, JPP memutuskan Hotel Kelisa dijadikan lokasi pengundian atas alasan kesuntukan masa dan tindakan itu nyata mengecewakan sebahagian besar ahli,” katanya.


Abdul Malek turut mendedahkan keputusannya menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang parti kerana kecewa terhadap kegagalan pihaknya memenuhi permintaan ahli luar bandar yang mahukan lokasi pengundian diubah.


Katanya, beliau mengharapkan supaya JPP bersikap lebih terbuka dengan mendengar luahan dan kehendak ahli di peringkat akar umbi pada proses pemilihan parti akan datang.


Sementara itu, Munawir turut menyuarakan kebimbangannya dengan amaran boikot yang disampaikan 70 peratus daripada keseluruhan 2840 ahli PKR Cabang Bagan Serai terhadap pemilihan kali ini.


Menurutnya, pihaknya masih berharap kesemua ahli terlibat hadir ke lokasi pengundian untuk menyempurnakan proses pemilihan cabang parti dan MATC.


“Selain itu, saya minta JPP Pusat kaji semula proses penetapan lokasi pengundian pada masa hadapan dengan ambil kira suara ahli parti di peringkat akar umbi," katanya.