• Mohd Amar Nik Abdullah
1 / 1
MACHANG - Pas Kelantan menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kenyataan itu satu perkembangan yang amat positif dan akan memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk melaksanakan hukum tersebut.

  
Beliau berharap dengan kenyataan Perdana Menteri semalam akan memudahkan kerajaan negeri Kelantan membentangkan usul rang undang-undang persendirian pada sidang Dewan Rakyat nanti.
  
Kenyataan itu juga boleh memberi satu jaminan bahawa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno, akan menyokong Pas apabila usul rang undang-undang itu dibentangkan nanti, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Ilmu di Rumah Anak Yatim Lilbanat Darulnaim, Banggol Judah di sini, hari ini.
  
Semalam, Najib menegaskan kerajaan persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan ALLAH SWT, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu.

Sebelum ini, kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilapor akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.

  
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilapor berkata pihaknya sudah menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. - Bernama