• Hudud
1 / 1
ALOR SETAR - Pelaksanaan hudud perlu berpadukan kepada kitab ulama Ahli Sunnah Waljamaah yang muktabar yang diguna pakai seluruh dunia.

Pengerusi Yayasan Pondok 1Malaysia cawangan Kedah, Sobri Othman berkata, proses penguatkuasaan undang-undang berkenaan bukan mudah kerana memerlukan penelitian dan kajian terperinci untuk mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan.

Beliau menyokong usaha Pas untuk melaksanakan hudud tetapi dengan syarat ia perlu merujuk sepenuhnya kepada kitab yang muktabar agar tidak menimbulkan kecelaruan.

"Mahu jatuhkan hukuman potong tangan ini bukan mudah, jika silap jatuh hukum kita sendiri kena tanggung akibatnya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua pihak menghormati hak demokratik Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Sobri berkata, alim ulama termasuk dari kalangan Pas dan Umno perlu bersemuka berbincang secara terperinci terlebih dahulu sebelum usul berkenaan dibentangkan.

"Pelaksanaannya juga perlu melihat kepada kesesuaian dengan keadaan di negara ini yang terdiri daripada pelbagai masyarakat majmuk. Ia perlu dilaksanakan dengan baik.

"Penerangan secara jelas mengenai kaedah pelaksanaan hudud perlu dilakukan terutama kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka dapat menerima keputusan itu dengan terbuka," katanya.

Menurutnya, dalam kitab yang muktabar juga menerangkan secara terperinci mengenai undang-undang hudud yang sebenar.

"Kita tidak boleh mengetepikan pandangan bukan Islam dalam soal ini kerana mereka ada hak mengundi justeru berhak untuk bersuara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, masyarakat Islam perlu lebih terbuka dalam memberi sokongan terhadap pelaksanaan hudud di negara ini.

"Hukuman hudud wajar dilaksanakan kerana dituntut oleh Islam. Jika kita menolak cadangan itu termasuk memperlekeh, mencerca dan menghina hukum ALLAH ia sudah menyimpang dari akidah sebagai seorang Muslim," katanya.