• R Sivarasa R Sivarasa
1 / 1
KUALA LUMPUR - [VIDEO]  PKR masih berpegang kepada kenyataan bersama PR mengenai isu hudud yang diputuskan pada 2011 biarpun setelah diberi penjelasan oleh Pas Pusat dan Kerajaan Kelantan dalam mesyuarat majlis setiausaha agung PR hari ini.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menegaskan PKR masih menghormati dan akur kepada kenyataan bersama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pendirian parti itu tidak berubah.

"Sebarang kenyataan (isu hudud) telah dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi PR sebelum ini dan  kami mematuhi ketetapan yang telah dibuat.

"Mesyuarat hari ini membincangkan banyak perkara termasuk isu itu (penjelasan hudud), malah pimpinan PR selalu berjumpa berbincangkan banyak perkara khususnya agenda bersama," katanya kepada pemberita di pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut mesyuarat khas majlis setiausaha agung PR hari ini mengenai penjelasan Pas Pusat dan Kerajaan Kelantan mengenai hasrat mereka untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pertemuan tertutup hampir tiga jam itu adalah inisiatif Pas untuk menjelaskan dan memberi kefahaman tentang hasratnya melaksanakan hukum hudud kepada semua pihak termasuk rakan sekutunya, DAP dan PKR.

PKR diwakili Naib Presidennya, Tian Chua dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa manakala DAP pula diwakili Pengarah Pendidikan Politiknya, Liew Chin Tong; Timbalan Setiausaha Agung, Ngeh Khoo Ham; Naib Pengerusi, Teresa Kok Suh Sim dan Pengarah Strategi, Ong Kian Ming.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan respon daripada Ahli Parlimen Seputeh itu namun beliau kelihatan agak sugul dan enggan memberikan sebarang komen berkenaan pertemuan khas itu.

Manakala Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari pula meninggalkan mesyuarat lebih awal sambil memberi alasan beliau bergegas pulang ke Pulau Pinang, tengah hari tadi.