• Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
1 / 1
SHAH ALAM - Pas lebih memerlukan sokongan Umno daripada PKR dan DAP yang sudah diketahui tidak akan menyokong usahanya untuk melaksanakan hudud.

Selain itu, ia juga harus yakin untuk bergerak sendiri tanpa dua parti sekutunya itu kerana mereka tidak mungkin akan mengubah pendirian untuk menerima undang-undang Islam yang diusahakan Pas.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, apa yang perlu diperjuangkan Pas sekarang ialah melobi Ahli Parlimen Umno untuk menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkannya di Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

"Pas juga perlu buat kajian telus dan menjelaskan kepada Umno mengenai relevan pelaksanaan undang-undang itu untuk mendapatkan sokongan mereka.

“Hudud sudah boleh dilaksanakan jika menerima sokongan cukup Ahli Parlimen. Namun, Pas perlu buat perkiraan tepat jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya," katanya.

Mohamed Mustafa berkata, tidak timbul isu Pas memerlukan sokongan PKR dan DAP kerana kedua-dua parti itu jelas tidak bersetuju dengan perjuangannya melaksanakan hudud.

"Parti Islam itu perlu bergerak sendiri dan mula melobi sokongan Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, sokongan Ahli Parlimen Umno sudah memadai untuk Pas mendapatkan majoriti mudah.

Katanya, isu ini dilihat akan memberi kesan negatif kepada PR untuk jangka masa panjang.

“Pas perlu berbincang dengan pemimpin PR sebelum membawa usul ini ke Parlimen,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menggesa Pas meninggalkan PR secara terhormat jika tetap mahu meneruskan cadangannya melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dalam reaksinya berkata, pelaksanaan hudud adalah hak Pas dan masih dalam kerangka (permuafakatan) PR yang membenarkan parti masing-masing mengekalkan matlamat perjuangan asalnya.