• Hudud
1 / 1
KUALA LUMPUR - Majlis Syura Ulama Pas mempunyai kuasa menentukan kedudukan parti itu sama ada untuk terus bersama pakatan pembangkang atau sebaliknya, jika cadangan pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan terus ditentang sekutunya, PKR dan DAP.

Pensyarah di Jabatan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata ini kerana penyertaan Pas dalam pakatan pembangkang mempunyai enam syarat termasuk tiada halangan daripada mana-mana pihak untuk Pas meneruskan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Katanya, syarat-syarat itu termaktub dalam Kertas Kerja Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh, dan diterima pakai oleh Majlis Syura Ulama Pas pada 10 Okt 2010.

"Antara syarat lain ialah memastikan kedudukan orang Islam tidak tergugat dan Pas boleh terus melaksanakan syariat Islam.

"Selain itu, Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah (kepentingan dan keburukan politik) dari semasa ke semasa untuk mengkaji semula dan seterusnya menarik balik penyertaan Pas dalam pakatan pembangkang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kamarul berkata berdasarkan kepada sejarah, Pasa pernah keluar daripada  pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) pada tahun 2001 dan adalah tidak mustahil jika ia berulang jika DAP terus menentang pelaksanaan undang-undang Islam.

Katanya semasa pimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai presiden, parti, Pas telah menyatakan persetujuannya bahawa Pas tetap mengekalkan dasar perjuangan bagi menegakkan negara Islam dan prinsip itu akan dipertahankan walaupun terpaksa kehilangan DAP dalam pakatan BA.

"Akibat ketegasan Pas mempertahankan prinsipnya pada waktu itu, maka Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pun memutuskan penarikan diri DAP daripada BA mulai 22 Sept 2001," katanya.  

Beliau berkata Pas perlu mengikuti ketetapan Majlis Syura Ulama yang mengenakan syarat penyertaan parti itu dalam pakatan pembangkang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Suara Pondok Kelantan, Mohd Shamsul Mohd Yusuf al-Hafiz berkata Pas Kelantan perlu tegas dengan pendiriannya untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian mengenai pelaksanaan Hudud di Dewan Rakyat bagi penyatuan Islam dan orang Melayu.

Mohd Shamsul berkata walaupun mendapat tentangan sekutu mereka daripada DAP dan PKR, agenda melaksanakan Hudud perlu diteruskan kerana ia janji yang dibuat Pas sejak memerintah Kelantan lebih 20 tahun lepas. 

"Walaupun tindakan itu mungkin menyebabkan Pas 'ditendang' keluar daripada menganggotai pakatan pembangkang selepas ini, namun ia akan memberi impak positif kepada penyatuan Islam dan orang Melayu.

"Ramai (orang Melayu dan Islam) yang menyokong pelaksanaan undang-undang Islam  itu," katanya.

Isu pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan kembali hangat menjadi perbincangan umum akhir-akhir ini apabila kerajaan negeri Kelantan, melalui anggota Parlimen parti itu, bercadang membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan Hudud, di Dewan Rakyat Jun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata pembentangan rang undang-undang Hudud itu, bagi mendapatkan kebenaran Parlimen, melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Namun, hasrat Pas untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu ditentang oleh sekutunya, DAP, yang menegaskan bahawa pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan Pas-DAP-PKR. - Bernama