• Susilo Bambang Yudhoyono Susilo
1 / 1
JAKARTA - INDONESIA . Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengakui menunggu waktu sesuai untuk kembali menjalin komunikasi yang baik dengan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri.
  
Susilo yang juga Ketua Umum Parti Demokrat, berkata kerjasama baik antara pemimpin termasuk dengan bekas presiden Indonesia kelima itu penting demi masa depan rakyat negara berkenaan.
  
Dalam wawancara yang disiarkan di YouTube pada Sabtu, Susilo berkata sejak dulu, beliau sering menjalin komunikasi dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin dan tokoh masyarakat untuk membicarakan masalah bangsa Indonesia.
  
"Kalau memang ditakdirkan Tuhan, saya boleh berkomunikasi baik dengan Ibu Megawati seperti mana dengan pemimpin lain, ia boleh membuka jalan bagaimana kita dapat bersama-sama memajukan bangsa dan negara ini.
  
"Tidak harus bersatu dalam satu kubu (parti), tetapi paling tidak, kita semua menyedari bahawa diperlukan kebersamaan dan kerjasama yang baik antara pemimpin untuk masa depan bangsa dan negara kita," kata Susilo.

Hasrat Susilo untuk menjalin komunikasi yang baik dengan Megawati menjadi obsesi yang belum wujud sejak kedua-dua pemimpin itu 'berpisah' menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden 2004.

  
Pada tahun berkenaan, Susilo yang menjadi Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, mengundur diri daripada Kabinet yang dipimpin Megawati dalam situasi tidak baik kerana berhasrat bertanding dalam Pemilu Presiden 2004.
  
Susilo berkata, dalam tempoh beberapa minggu lepas, beliau bertemu ramai pemimpin parti politik, namun belum berjumpa Megawati walaupun usaha sudah dilakukan ke arah pertemuan tersebut.
  
Berdasarkan kiraan awal Pemilu Parlimen pada 9 April lepas, PDI-P yang dipimpin Megawati memenangi pilihan raya umum tersebut.
  
Calon presiden PDI-P, Joko Widodo atau Jokowi sering berada di kedudukan teratas untuk dipilih sebagai Presiden Indonesia yang baharu, mengikut pelbagai tinjauan yang dilakukan oleh badan kaji selidik.
  
Susilo berkata, beliau sentiasa berhasrat memperjuangkan tradisi politik yang baik dan bersedia menerima serta menyokong sesiapa pun Presiden Indonesia yang dipilih pada Pemilu Presiden akan datang, agar dapat memajukan negara berkenaan. - Bernama