• Aminolhuda Hassan  
  • Aminolhuda Hassan
1 / 1
SENAI – Pas negeri akan mengadakan program jelajah di seluruh Johor dalam usaha parti itu untuk menyampaikan kefahaman dan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan undang-undang hudud dan negara berkebajikan dalam masa terdekat.

Pesuruhjayanya, Aminolhuda Hassan berkata, jelajah itu adalah bertujuan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat di negeri ini tanpa mengira kaum mengetahui dan membuat penilaian tentang kebaikan pelaksanaan undang-undang berkenaan.


“Pas Johor akan berusaha menjelaskan kepada lapisan masyarakat tentang kebaikan pelaksanaan undang-undang hudud dalam masa terdekat supaya rakyat dapat membuat penilaian tentang kebaikannya.


“Menerusi program itu ia dapat memberi ruang kepada rakyat secara terus mendengar daripada pimpinan Pas Kelantan yang sedang dalam usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.


“Kita akan menerangkan juga konsep model negara berkebajikan yang pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah dan Saidina Umar Abdul  Aziz.


"Ini adalah sebagai salah satu usaha kita untuk memberi kefahaman kepada semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.


Bagaimanapun, menurutnya, sebarang kenyataan berkaitan pelaksanaan hukum hudud di negara ini hanya akan dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


“Mengenai hudud hanya presiden sahaja yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pelaksanaannya,” katanya.


Dalam pada itu, Pas Johor turut menyatakan pendiriannya tidak berganjak untuk menyokong Abdul Hadi untuk melaksanakan undang-undang hudud meskipun ia mendapat tentangan daripada PKR mahupun DAP selaku rakan dalam komponen Pakatan Rakyat (PR).


Terdahulu, Pas disaran kembali memberi fokus penubuhan negara berkebajikan sebagaimana yang dipersetujui bersama dengan parti komponen PR sebelum ini.


Timbalan Setiausaha Publisiti DAP, Nga Kor Ming berkata, penubuhan negara berkebajikan itu juga turut terkandung sebagai polisi dalam Buku Jingga PR, malah ia sudah diluluskan sempena Muktamar Pas yang lalu.