• Mustapa Mohamed Mustapa
1 / 1
SHAH ALAM - Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 26 April ini akan memberi peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian kerajaan berhubung perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun lawatan Obama itu bukan dibuat semata-mata untuk isu TPP tetapi dalam konteks hubungan lebih luas.

“Hubungan kita dengan AS adalah pelbagai. (Contohnya) pelajaran, ramai orang kita hendak pergi belajar di AS, (selain hubungan dalam) inovasi, sains dan teknologi, penyelidikan dan pertahanan.

“Dari segi pelaburan, kita terus menerima syarikat (dari AS) seperti Dell, Intel, dan kebanyakan syarikat ini dalam bidang elektrik dan elektronik, minyak dan gas. TPP adalah satu daripadanya (jenis hubungan antara kedua-dua negara),” katanya semasa ditemui dalam lawatan beliau ke Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Mustapa menegaskan, dasar Malaysia adalah untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua negara di dunia, termasuk AS.

“Kita hendak berkawan dengan semua orang. Asean keutamaan kita, rakan-rakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel dan semua negara seperti, AS, Kanada, Afrika. Itu dasar kita.

“Ini penting kerana kita sebuah negara terbuka dari segi pelaburan, perdagangan. Kita hendak jual barang kita.

“Kita hendak tarik pelabur, kalau kita berkelahi dengan banyak orang, kita tidak mampu tarik pelaburan, dan sebahagian pelaburan datang dari AS,” jelasnya.

Menurutnya, lawatan Obama adalah sesuatu yang penting kerana ia yang pertama oleh Presiden AS sejak lebih 40 tahun lalu.