Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Al-Fatihah!!! (Gambar2) Bekas Timb. Speaker DUN Kedah, Ust. Ahmad Izzat Selamat Dikebumikan Bersebelahan Pusara Almarhum Ust. Azizan, Bekas MB Kedah


ALOR SETAR - Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Izzat Mohamad Shauki, 34, kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 11.10 malam semalam, selepas lebih tiga minggu menerima rawatan akibat komplikasi kencing manis.

Jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Speaker Dun Kedah dan Bekas Adun Bukit Lada dibawa pulang ke rumah ibunya, di Batu 2, Lebuhraya Sultan Abd Halim sebelum dibawa ke Masjid Derga, untuk solat jenazah.



Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya berkata, jenazah disemadikan di tanah perkuburan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, bersebelahan dengan pusara bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak.




“Solat jenazah kedua dilakukan di Masjid Muassasah Darul Ulum,” katanya.


Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak, iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara tiga hingga 10 tahun.


Pada 20 September lalu, Allahyarham dikejarkan ke HSB apabila rebah secara tiba-tiba ketika mendirikan solat Maghrib. Allahyarham kemudian menjalani pembedahan berikutan terdapat darah beku di bahagian otaknya akibat pendarahan.


Pembedahan itu dilakukan untuk membuang sebahagian tempurung kepala Allahyarham, selain  doktor mengesahkan beliau turut mengalami jangkitan kuman pada bahagian kanan paru-paru, dan disahkan mengalami ‘minor stroke’.


Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham Ahmad Izzat memenangi kerusi DUN Bukit Lada menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ariffin Man dengan majoriti 208 undi, setelah mendapat 9,600 undi berbanding Ariffin 9,392 undi.

Beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, setelah tewas kepada Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mewakili BN dengan majoriti 1,324 undi. Ahmad memperoleh 12,664 undi manakala Allahyarham mendapat 11,340 undi.

CORETAN ANAK MUDA

Ternyata, pemergian Almarhum Ustaz Izzat Shauqi pada jam 11.10 malam (13 Okt 2014) amat mengejutkan saya. Kesedihan ini pastinya bukan sahaja dirasai oleh keluarga Almarhum bahkan turut dirasai juga oleh semua kader-kader dakwah yang dibentuk oleh Almarhum. Juga teman-teman seperjuangan beliau samada dalam Dewan Pemuda Pas Pokok Sena, Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah serta keseluruhan pendokong jamaah Islam.


Sejak mendapat berita ini hanya doa sahaja dapat dititipkan dari jauh moga Almarhum Ustaz Izzat Shauqi ditempatkan Allah swt bersama orang-orang yang beriman serta amal soleh Almarhum diterima Allah.. Amin.

Termenung seketika memikirkan kenangan serta jasa Almarhum yang cukup banyak samada pada diri yang faqir ini dan juga gerakan Islam yang tercinta ini.

SEMUANYA ADALAH PELUANG DAKWAH

Seingat-ingat saya, perkenalan dengan Ustaz Izzat Shauqi bermula pada Disember tahun 2006 apabila saya di minta oleh Ustaz Ahmad Yahya (kini Yang Berhormat) untuk membantu Madrasah Taklimiah al-Khairiah (MTK) di Tok Keling, Alor Mengkudu yang menganjurkan Kem Bina Insan. Satu program tahunan MTK kepada masyarakat di samping untuk mencari dana pembangunan MTK sendiri. Ketika itu Ustaz Izzat Shauqi menjawat jawatan Guru Penolong Kanan di MTK.


Banyak yang saya bualkan dengan Ustaz Izzat sepanjang program tersebut. Antara yang diluahkan kepada saya ialah sikap orang Melayu yang tidak mengutamakan pendidikan Islam serta kefahaman agama kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang meningkat remaja tanpa kefahaman agama ini mudah rosak serta terlibat dengan gejala sosial dan akhirnya akan mengganggu pendidikan mereka di sekolah. Apabila sudah dibuang sekolah menengah, barulah terkial-kial datang ke sekolah agama rakyat (SAR) seperti MTK untuk belajar dan ditarbiah. Pada usia 16 dan 17 tahun, ia bukan perkara yang mudah.

Namun kata Ustaz Izzat Shauqi, kita yakin dengan agama, yakin dengan al-Quran. Seteruk manapun jiwa yang datang, jiwa itu kosong. Maka jika disiram dengan tekun, mereka pasti berubah menjadi manusia yang benar-benar manusia. Inilah peluang dakwah yang ada pada para pendidik yang belum tentu ada pada profesion lain.

DARI SEKOLAH ATAP KEPADA YANG BERHORMAT.

Pada pilihanraya umum yang ke 12, saya teruja apabila mendapat tahu Ustaz Izzat Shauqi dicalonkan oleh PAS Kedah bagi bertanding di kerusi DUN N9 Bukit Lada. Selain Ustaz Izzat Shauqi hanya beberapa calon lain sahaja yang bertanding di Dun Kedah dari suara pemuda. Ustaz Izzat Shauqi yang mewakili PAS berhadapan dengan Dato Ariffin Man dari BN yang mana calon BN tersebut jauh lebih berpengalaman serta berusia. Perbezaan umur mereka kira-kira 17 tahun. Namun ia tidak menjadi halangan buat Ustaz Izzat Shauqi, beliau menang kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 208 undi.

Kemenangan Ustaz Izzat Shauqi telah mencatat sejarah yang tersendiri, pada usia 29 tahun beliau menjadi Yang Berhormat termuda dalam sidang Dun Kedah. Beberapa tahun selepas itu dilantik pula sebagai Timbalan Speker Dewan Undangan Negeri Kedah bagi menggantikan YB Abdul Ghani Ahmad yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru.

Perubahan status ini langsung tidak menghalang beliau untuk rapat dan mesra dengan sahabat-sahabat yang lain. Disantuni kami semua sama seperti mana beliau yang dulu. Beberapa kali hadir ke Kuching Sarawak ketika saya masih di sana untuk terus menyebarkan risalah Islam. Jika kita menghubungi beliau dengan panggilan telefon dan tidak berjawab, Ustaz Izzat Shauqi pasti akan menghubungi kita semula selepas itu. Beliau juga begitu tekun memenuhi jemputan kuliah, ceramah serta acara-acara lain samada dianjurkan parti, kerajaan mahupun masyarakat setempat.

KENANGAN AKHIR.

Ketika pulang ke Kedah sekitar pertengahan bulan September yang lalu, saya di jemput kuliah di Masjid Alor Madi, Anak Bukit. Alhamdulillah, kehadiran yang memberangsangkan daripada masyarakat sekitar. Selepas kuliah baru saya tahu, bahawa kehadiran saya pada malam itu adalah untuk menggantikan kuliah mingguan Ustaz Izzat Shauqi. Mendapat maklum bahawa kesihatannya banyak terjejas dan sudah dimasukkan ke hospital.

Kali terakhir berjumpa dengan Ustaz Izzat Shauqi kira-kira setahun yang lalu di Pantai Samila Beach Thailand. Perjumpaan tanpa dirancang, difahamkan Ustaz pada ketika itu bersama bondanya menziarahi sanak saudara mereka di sana. Banyak perkara yang kami bualkan apatah lagi pada ketika itu PAS baru sahaja hilang Kerajaan Negeri Kedah. Perbincangan agak panjang lebar sambil menghadap laut, sekali sekala wajahnya disentuh lembut bayu. Hasratnya masih besar, matlamatnya masih sama, Islam harus didaulatkan semula.

Perginya tentu disambut dengan kesedihan, namun semangat dan ruh perjuangan Almarhum tetap bersama kita semua dan obor perjuangan ini tetap akan diteruskan. Ketika saya menulis secebis kisah pengalaman ringkas ini, tentunya jasad Almarhum telah pun selamat disemadikan. Berhampiran insan-insan hebat yang lain, Almarhum Ustaz Fadhil Md Nor, Almarhum Ustaz Shauqi Ibrahim dan Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak.

Buat sahabatku Ustaz Izzat Shauqi, pemergianmu amat berat untuk dihadapi oleh kami semua. Moga rahmat dan kasih sayang Allah bersamamu... Amin.


Nazmie Samarahan (Kanan: Penulis)
19 Zulhijjah 1435H
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.