• BR1M 3.0 BR1M 3.0
1 / 1
PONTIAN - Kira-kira dua juta daripada tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini masih tidak memiliki akaun bank, menyukarkan bantuan itu disalurkan terus kepada mereka.

Menurut Kementerian Kewangan, mereka yang masih belum membuka akaun bank perlu membuka akuan bank segera supaya bayaran BR1M tahun depan sebanyak RM950 dapat disalurkan kepada mereka dengan lancar.
 
Selepas membuka akaun, penerima BR1M boleh menyerahkan maklumat terbabit kepada penghulu, ketua kampung atau pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat supaya Kementerian Kewangan boleh mengemas kini data.

Tambah Kementerian Kewangan lagi, mereka yang masih belum membuka akaun bank boleh berbuat demikian di cawangan atau ejen Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank atau CIMB.
 
Langkah ini bertujuan supaya penerima BR1M yang memiliki akaun bank tidak lagi perlu beratur panjang untuk menerima bantuan kewangan itu yang akan disalurkan kepada akaun bank mereka menerusi tiga kali pembayaran. 

Fasa pertama pembayaran BR1M akan dilakukan pada Jan tahun depan sebanyak RM300. - Bernama