• Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya
1 / 1
SHAH ALAM - Kumpulan pendesak Melayu dan Islam, Perkasa Selangor hari ini membidas kenyataan Pemuda Gerakan yang menyifatkan NGO itu sebagai parasit yang menjejaskan BN.

Yang Dipertuanya, Abu Bakar Yahya menegaskan parti komponen BN itu harus berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia hanya akan merugikan BN dan boleh mengguris perasaan pengundi mereka khususnya yang menjadi ahli NGO itu.

"Kenyataan Ketua Pemuda Gerakan yang mengatakan Perkasa ini sebagai parasit dalam BN adalah satu kenyataan yang tidak berakal.

"Kenyataan itu juga boleh merugikan BN kerana ahli-ahli Perkasa kebanyakannya adalah pengundi di waktu pilihan raya.

"Kalaulah seseorang salah seorang pemimpin dalam BN menyatakan kenyataan sedemikian rupa, ia sangat merugikan BN," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang semalam yang menggesa BN menjauhkan diri daripada NGO perkauman dan keagamaan yang disifatkan sebagai parasit yang menjejaskan parti.

Walaupun Tan tidak menamakan NGO yang dimaksudkan atas alasan enggan memberikan mereka publisiti murahan, namun beliau dipercayai merujuk kepada NGO pendesak Melayu, iaitu Perkasa.

Mengulas lanjut, Abu Bakar menambah penubuhan Perkasa berlandaskan perjuangan kepada agama, bangsa dan tanah air dan NGO itu tidak terikat untuk menyokong sesebuah parti politik sahaja.

"Kalau dia menuduh bahawa Perkasa banyak membantu Umno, itu terserah kepada dia.

"Kalau kita lihat Umno itu parti platform orang Melayu, apa salahnya kalau NGO hendak bantu Umno. Kalau Perkasa hendak bantu Pas, tiada masalah.

"Maknanya Perkasa bebas untuk menyokong parti mana, asalkan parti itu memperjuangkan nasib masa depan agama, bangsa dan tanah air," ujarnya.

Ditanya tentang Perkasa cuba mengambil kesempatan untuk meraih publisiti murahan, Abu Bakar menafikan dakwaan tersebut sambil menasihatkan BN supaya memperkukuhkan hubungan dengan NGO dan bukannya merenggangkannya.

"Bagi saya, Perkasa boleh pergi kepada mana-mana parti, tiada masalah, yang sepatutnya BN kena ‘tackle’ adalah seluruh NGO supaya menyokong mereka.

"Tetapi jelas saya lihat itulah kenyataan yang dibuat Pemuda Gerakan itu adalah satu kenyataan betul-betul boleh menghancurkan BN," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan BN menunjukkan kesefahaman dalam gabungan parti politik itu jika mahu rakyat khususnya bukan Melayu kembali menyokong mereka PRU14 akan datang.

"Kalau hendak meneruskan kerajaan BN ini, kemuafakatan dalam BN itu perlu diperjelaskan, perlu diperlihatkan kepada rakyat di bawah bahawa parti komponen BN masih mempunyai persefahaman.

"Kita lihat di Pulau Pinang sendiri Gerakan sendiri gagal mengambil semula kerajaan negeri itu dan tewas cukup besar.

"Di mana Gerakan hendak bergerak jika tiada BN? Tidak sepatutnya Pemuda Gerakan lancang bercakap terhadap NGO ini," katanya lagi.