• Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
1 / 1
SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abd Hadi menyindir penganjur kempen sentuh anjing ‘I Want to Touch a Dog’.

Katanya, daripada sibuk mengajak umat Islam menyentuh anjing, lebih baik penganjur membuat kempen menyapu kepala anak yatim.
"Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana ALLAH SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap.

"Daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing, lebih baik juga buat kempen belajar macam mana cara hendak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwuduk," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing ‘I Want to Touch a Dog’ anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.

Acara tersebut dianjurkan kononnya bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.

Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata lagi, walaupun dalam al-Quran, ALLAH menceritakan kisah Ashabul Kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka, namun ia tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

"Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri.

"Nabi SAW ada menceritakan kisah perempuan pelacur dimasukkan ke dalam syurga kerana memberikan minum kepada anjing yang dahaga.

"Menunjukkan anjing tidak boleh disakiti dan berhak untuk dirahmati dalam keadaan yang memerlukan," ujarnya.

Dengan nada sinis beliau berkata, mungkin kempen seperti itu untuk mengatasi masalah rakyat yang tertekan akibat kenaikan harga minyak RON95 dan diesel baru-baru ini.