• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang hanya mahu meraikan kejayaan tanpa bersedia menerima kegagalan disifatkan sebagai kebudak-budakan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa, ketika Pulau Pinang meraih pelaburan asing yang tinggi, Guan Eng dengan senang hati mengakui ia hasil usahanya namun menyalahkan pihak lain apabila pelaburan luar negeri (FDI) ke negeri ini merudum.

“Apa yang saya lihat, perangai ketua menteri seperti budak-budak. Langsung tidak mahu mengakui kesilapannya. Apabila ada kejayaan, beliau mengaku itu hasil usahanya namun apabila ada kegagalan, akan tuding jari salahkan pihak lain.

“Ketika Pulau Pinang meraih pelaburan asing yang tinggi, beliau mengakui kejayaan itu adalah hasil usahanya dan kerajaan negeri. Namun apabila FDI ke Pulau Pinang merudum, beliau salahkan orang lain pula,” katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Menurutnya, penjelasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini jelas membuktikan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) tidak pernah menyekat atau menghalang malah terus menggalakkan pelabur asing masuk ke negeri ini.

“Keputusan akhir untuk melabur di mana-mana negeri adalah prerogatif (hak) pelabur itu sendiri. Adalah tidak wajar bagi ketua menteri menyalahkan Mida sekiranya pelabur tidak membuat pelaburan di Pulau Pinang atau memilih untuk membuat pelaburan di negeri lain.

“Sejak DAP menjadi kerajaan negeri, kerajaan persekutuan tidak pernah menganaktirikan rakyat Pulau Pinang walaupun ada pihak mendesak agar peruntukan itu dikaji semula," katanya.

Sebaliknya, kerajaan persekutuan terus memperuntukkan berbilion ringgit untuk beberapa projek antaranya tebatan banjir, naik taraf hospital serta klinik kesihatan dan pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Zainal Abidin berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus berlaku adil kepada rakyat Pulau Pinang dan tidak sama sekali menjadikannya sebagai anak tiri yang diabaikan.

“Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM3.173 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk pembangunan pelbagai infrastruktur di Pulau Pinang. Peruntukan untuk perkhidmatan kesihatan sahaja berjumlah RM800 juta untuk tempoh itu," katanya.

Projek perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik terus dirancang untuk pembinaan oleh agensi persekutuan.

Sehingga kini, 33,000 unit rumah sudah dalam perancangan termasuk 9,444 unit yang dikemukakan permohonan pelan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa negeri dan menanti kelulusan.

Terdahulu, Guan Eng mendakwa, kerajaan persekutuan menjadi punca kelewatan projek termasuk pelaburan asing, infrastruktur dan bekalan air mentah di negeri ini.

Beliau mendakwa, tindakan Putrajaya itu hanya akan merosakkan negara kerana pelabur asing yang kecewa dengan kelewatan akan mencari lokasi pelaburan lain di samping usaha Mida menarik pelabur asing ke Pulau Pinang dibekukan.