PUTRAJAYA - Pendaftar Pertubuhan (ROS) seharusnya mengeluarkan kenyataan rasmi melarang DAP menganjurkan atau melaksanakan sebarang aktiviti melibatkan parti.
 
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata ia perlu dilaksanakan memandangkan status Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP masih belum disahkan.
 
Menurutnya sehingga kini mereka masih bebas menganjurkan pelbagai program termasuk mengadakan jamuan untuk mengumpul dana serta pelbagai aktiviti lain, seolah-olah CEC DAP sudah diiktiraf.
 
"Kita tengok bulan November nanti DAP nak adakan Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) di One World Hotel, selain nak mengadakan Konvensyen DAP di Johor," katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum kepada ROS supaya bertindak tegas terhadap DAP, di sini hari ini.
 
Beliau berharap ROS akan memberi penjelasan mengenai status CEC DAP secepat mungkin. - Bernama