Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Thursday, October 9, 2014

Harapan baharu PAS di Selangor http://www.detikdaily. Oleh HAZAYANI ZAKARIA

KEMELUT dua bulan berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu ternyata mengundang rasa tidak senang yang luar biasa dalam kalangan parti komponen Pakatan Rakyat sehingga menjejaskan fungsi pentadbiran eksekutif dalam negeri itu.

Parti yang paling besar menerima kesan negatif dalam krisis itu adalah PAS sehingga mengheret perbalahan dalaman dan mendedahkan segalanya kepada rakyat Malaysia seperti yang berlaku dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-60 di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Bagaimanapun, krisis itu seperti sedang reda kepanasannya apabila Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dilantik oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar yang baharu pada 23 September lalu.

PAS dilihat seperti teraniaya apabila jumlah kuota empat Exco yang dimiliki sebelum ini berkurang kepada tiga.

Dua exco PAS sebelum ini iaitu Dr Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) tidak dikekalkan dalam kabinet baru Azmin.

Halimah memberikan komen ringkas dengan menyifatkan Pakatan Rakyat tiada semangat setiakawan apabila mengurangkan komposisi PAS dalam jawatan exco.

Bagaimanapun beliau tetap mengharapkan exco baharu yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan lebih baik.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat Selangor harus memandang ke hadapan agar kepentingan rakyat tidak terabai dalam kemelut ini.

Melihat kemelut ini dari sudut positif, Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad mahu keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat dipulihkan sepenuhnya selepas melalui kemelut politik hampir sembilan bulan.

Beliau berpandangan, banyak agenda kebajikan harus diteruskan demi membela nasib rakyat yang telah memberi amanah kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri itu.

Bagi beliau, masa sekarang harus digunakan untuk memandang ke hadapan selaras dengan prinsip kerajaan negeri untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau meluahkan hasrat itu selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Exco di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, 26 September lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu antara muka lama dari PAS yang dikekalkan sebagai Exco selain Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi manakala muka baru adalah Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

Menyentuh mengenai kerusi Timbalan Speaker Selangor pula, Iskandar berkata, PAS Selangor belum membuat apa-apa keputusan berhubung tawaran itu dan akan memuktamadkan perkara tersebut sebelum sidang Dewan Negeri Undangan (DUN) Selangor pada November depan.

Jelasnya, jika PAS menolak kerusi Timbalan Speaker Selangor, keputusan itu adalah kerana tidak mahu Adun PAS yang dilantik sebagai exco disibukkan dengan tugas tersebut sehingga menjejaskan tugas asasi mereka.

Sebelum ini beliau menjelaskan, pertemuan exco dan mantan exco PAS dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga tidak membuat keputusan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dari PAS bertekad untuk terus bergerak ke hadapan bagi memastikan pentadbiran Selangor berjalan baik.

Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, isu pengurangan kerusi Exco PAS bukan perkara besar perlu diberi tumpuan sekarang, sebaliknya kelicinan pentadbiran negeri yang akan dijadikan fokus utama.

Beliau turut menganggap situasi yang menimpa PAS Selangor itu mungkin mempunyai hikmah.

Beliau berkata, PAS perlu bergerak ke hadapan untuk memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan kesinambungan kebaikan dahulu malah lebih baik lagi supaya rakyat mendapat faedah daripada pentadbiran ini.

Ketika ditanya sama ada senarai nama Exco PAS Selangor yang dilantik itu sama seperti yang disenaraikan PAS Pusat, Yunus bagaimanapun berkata beliau tidak pasti tentang perkara itu.

Seolah-olah ingin meredakan suasana yang sedikit tidak menyenangkan hati sesetangah pihak dalam PAS ini, Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampil meminta semua pihak menghormati keputusan Azmin berhubung jemaah Exco baharu.

Beliau menjelaskan isu itu telah ditentukan melalui perbincangan dalaman parti.

Dalam pada itu, Anwar enggan mengulas titah Sultan Sharafuddin yang menyalahkan KeADILan kerana menyebabkan kemelut Menteri Besar.

Beliau mengambil pendirian tidak mahu terlibat dengan kontroversi dengan titah Tuanku Sultan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menyatakan kesal dengan kebuntuan yang tercetus akibat Langkah Kajang yang diilhamkan KeADILan untuk menyingkir mantan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Senada dengan Anwar, Azmin juga menerima titah Sultan Sharafuddin dengan hati terbuka berhubung krisis jawatan Menteri Besar.

Beliau berkata titah baginda harus dilihat sebagai satu nasihat bagi membolehkan Selangor maju demi kebaikan semua pihak.

Selain menyentuh berhubung Langkah Kajang, Sultan Sharafuddin turut menegur KeADILan kerana meneruskan perbuatan menghina dan mencaci pada bulan Ramadan yang bertujuan menjatuhkan Abdul Khalid.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.