• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
SHAH ALAM  - Selepas PKR menyatakan pendiriannya yang jelas menolak Rang Undang-undang Persendirian yang akan dibawa oleh Pas untuk membuat pindaan di Parlimen mengenai kuasa mahkamah syariah, persoalan mengenai hubungan antara Pas-PKR sedikit menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan respons Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak berjaya apabila beliau dilihat enggan memberi maklum balas apabila ditanya mengenai isu tersebut.

 “No comment (Tidak mahu komen). Sila rujuk kepada kenyataan rasmi parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Online menerusi sistem aplikasi sosial Whatsapp, hari ini.

PKR pada kenyataan lepas memberitahu Pas tidak akan memperoleh sokongannya dalam membuat pindaan di Dewan Rakyat mengenai kuasa mahkamah syariah berkaitan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

Keputusan itu diambil sebulat suara oleh kepimpinan tertinggi PKR yang hadir bermesyuarat Sabtu lalu, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Azmin Ali, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Shamsul Iskandar Md Akin, Setiausaha Agung, Rafizi Ramli, Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PKR menyatakan bahawa mereka tidak tahu mengenai isi kandungan RUU tersebut sekaligus melanggar keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Februari lalu.

Kenyataan tersebut turut meminta kerajaan dan Perdana Menteri memutuskan sama ada RUU tersebut boleh dibahaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat.

Dun Kelantan sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 Khamis lalu.

Pas  akan membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat bagi meminda peruntukan mengenai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Parti itu perlu memperolehi sokongan majoriti mudah 112 undi di Parlimen dan memerlukan sokongan ahli Parlimen PKR beragama Islam untuk mencapai matlamat itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat  pada sidang yang berlangsung.