• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 / 1
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu meminta Pas dan DAP segera mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan PR.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal memberi impak buruk kepada Pas.

“Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Oleh itu, sebarang tindakan memutus hubungan dengan beliau memberi suatu impak yang buruk kepada Pas.

“Justeru itu, penyelesaian segera hendaklah dicari antara parti-parti dalam PR khasnya DAP untuk terus memantapkan pakatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi]

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menegaskan DAP tidak boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi susulan tindakannya yang tidak jujur dalam soal hudud.

Dalam pada itu, Mat Sabu berpandangan bahawa krisis yang berlaku antara DAP dan Pas itu boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua parti mempunyai kesungguhan untuk berada dalam PR.

“Jika penyelesaian segera tidak dapat dicapai, maka hubungan yang sedia ada semakin runcing. Saya yakin, sekusut mana pun hubungan, kalau ada kesungguhan untuk terus berada dalam PR, pasti akan jumpa jalan penyelesaiannya.

“Cara yang terbaik ialah, pemimpin PR perlu segera bertemu dan mencari titik persamaan untuk terus bersama,” katanya.