• Mahfuz OmarMahfuz Omar
 1 / 1 
SHAH ALAM - ‘Adakah Umno lebih sayangkan rakan parti komponen BN yang menentang pelaksanaan hudud di Kelantan itu berbanding syariat Islam itu sendiri?’ Demikian soalan yang dibangkitkan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau turut mempertikaikan keberanian Umno untuk mempertahankan Islam susulan sehingga kini kerajaan masih berdolak-dalik mengenai pendirian terhadap hudud.
“Apabila melihatkan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN untuk menyatakan pendirian berkenaan hudud ini, maka jelaslah bahawa sokongan yang Umno berikan pada sidang Dun Kelantan baru-baru ini tidak lebih daripada sekadar sandiwara, hipokrasi dan lakonan demi meraih sokongan politik sahaja.
“Adakah Umno masih punya keberanian untuk mempertahankan Islam atau lebih risau akan kepentingan kuasa? Adakah Umno lebih sayangkan rakan parti komponen BN yang menentang pelaksanaan hudud di Kelantan itu berbanding hukum hudud itu sendiri?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor  berkata, pihaknya akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya 24 Mac lalu namun sehingga kini Najib masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Pas turut mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan kerajaan bertindak berani dalam perkara tersebut.
“Kerajaan Pusat masih berdolak-dalik dan tidak yakin untuk membentangkan pindaan tersebut di Parlimen. Kini, cadangan pindaan yang sama telah dibawa melalui  Rang Undang-Undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Dalam hal ini, menteri sendiri gagal untuk menyatakan sokongan terhadap pindaan itu, sedangkan asalnya ia adalah di bawah tanggungjawab beliau. Beliau sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam sepatutnya jujur dan berani, bukannya berdolak-dalik.
“Saya mendesak Datuk Seri Jamil Khir dan Kerajaan Pusat bertindak berani dalam hal mempertahankan kesucian agama Islam ini dengan membuat pencelahan pada saman yang difailkan oleh Gerakan (komponen BN) yang memohon pengisytiharan pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015),” katanya.