• Hudud Pas
1 / 1
SHAH ALAM – Meskipun mendapat tentangan hebat daripada bukan dan orang Islam sendiri, Pas tidak perlu gentar untuk meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pensyarah Fiqh Semasa, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Khasim berkata, ini kerana orang Islam mempunyai hak untuk memperjuangkan agama dan perintah yang disuruh dalam al-Quran.

“Apatah lagi, Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Sekiranya tidak ada titik persamaan dengan orang bukan Islam, maka Pas tidak perlu menghormati apa yang diingini oleh mereka.

“Kekangan daripada orang bukan Islam bukan faktor besar yang perlu dianggap sebagai penghalang Pas untuk melaksanakan hudud. Jadi, saya amat bersetuju apabila Pas nekad perjuangkan hudud yang menjadi prinsip mereka selama ini,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas juga tidak perlu khuatir kerana usaha melaksanakan hudud turut mendapat sokongan daripada sebahagian pemimpin Islam dalam Umno.

“Ini salah satu kesan positif wujud dalam kalangan umat Islam sama ada pihak atasan atau bawahan. Maka lebih baik Pas berbincang sesama orang Islam kerana pernah disebutkan dalam al-Quran bahawa orang bukan Islam memang tidak akan pernah bersetuju dengan orang Islam.

“Jika orang bukan Islam boleh bersatu menentang hudud, mengapa tidak kita bersatu dalam mempertahankan agama? Jadi isu hudud ini lebih cantik apabila kita melihat kepada perpaduan ummah bukan agenda politik semata-mata,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa boleh pertikai hukum hudud]

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata, Pas perlu terus memperjuangkan hudud kerana isu itu tidak akan memberi kesan kepada hubungan politiknya dalam PR.

“Meskipun menerima tentangan dari rakan PR terutamanya DAP, ia bukanlah isu besar. Pas akan tetap teruskan hasrat melaksanakan hudud kerana mereka tahu PR tidak akan berpecah.

“Ini kerana Pas dan DAP masih memerlukan antara satu sama lain. Malah, kedudukan Pas dalam PR akan semakin kukuh kerana Pas dilihat sebagai parti yang tegas mempertahankan prinsip mereka,” katanya.

Menurut Azmi, tidak timbul soal Pas akan kehilangan sokongan pengundi Cina sekiranya bertegas melaksanakan hudud.

“Dalam isu pengundi, terdapat sokongan dua hala antara kedua-dua parti. Jika DAP mengarahkan penyokongnya tidak memberi undi kepada Pas, maka Pas juga boleh melakukan perkara sama kepada DAP.  

“Cuma dari segi sokongan orang Islam di luar Pas mungkin tidak akan bertambah. Sebaliknya hudud akan memperkukuhkan lagi sokongan dalam kalangan pengikut Pas sendiri,” katanya.