• Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung krisis melibatkan DAP-Pas yang semakin memuncak.

AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kenyataan Guan Eng yang meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meninggalkan PR jika mahu melaksanakan hudud sebagai tidak kena.

"Sepatutnya tidak boleh begitu kerana presiden hanya mewakili Pas dalam PR.

"Ini bukan soal individu tetapi polisi parti. Bukan soal presiden tinggal PR, soalnya Pas tinggalkan PR. Jika dia benar-benar mahu begitu dia patut minta Pas tinggalkan PR," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai usaha DAP untuk mencampuri urusan dalaman Pas.

"Bila Tuan Presiden Abdul Hadi buat keputusan, itu adalah polisi parti kami. Bagi saya ia tidak lebih dari kalam berlapik. Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada politik negara untuk mengeluarkan Tuan Guru Hadi dari mahkamah rakyat," katanya lagi.

Gesaan terbaharu dibuat Guan Eng sebaik sahaja sekutu Pas  itu mengumumkan pendiriannya untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi.

"Jika Hadi terus nak bentangkan usul tersebut (hudud), lebih baik beliau tinggalkan Pakatan Rakyat, beliau tentu berhak sebagai seorang Ahli Parlimen untuk berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Abdul Hadi tidak seharusnya membentang RUU berkaitan hudud atas kapasitinya sebagai pemimpin pakatan pembangkang.

"Kita tak persoalkan hak demokrasi Hadi untuk bentang apa-apa usul, beliau memang ada hak sebagai Ahli Parlimen... tapi kalau nak buat usul sedemikian, jangan laksana sebagai ahli Pakatan Rakyat kerana kalau dia buat sedemikian, lebih baik beliau tinggalkan pakatan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng: DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi]