• Datuk Mohd Amar Nik AbdullahDatuk Mohd Amar Nik Abdullah
 1 / 1 
KLANG - Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa ahli dan pemimpin  parti mematuhi arahan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan segala keputusan dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti.

Ketika membuat saranan itu, beliau berkata ahli parti perlu bertindak mengikut dasar parti dan segala perbezaan pendapat perlu diurus dengan baik. 

"Meskipun kita menghormati rakan pakatan pembangkang,  tetapi ahli Pas harus bertindak berlandaskan dasar parti. 

"Autoriti presiden menentukan keputusan dan hala tuju  Pas," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-30 Pas Kawasan Klang di Pandamaran di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan menarik perhatian bahawa Kelantan  berazam untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu dan oleh yang demikian, ahli Pas tidak sepatutnya menyokong cadangan untuk menangguh atau menolak pelaksanaan hudud.

Abdul Hadi sebelum ini mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Klang, Mohd Prasad Hanif berkata mesyuarat agung kawasan Klang pada hari  ini sebulat suara menyokong kepimpinan ulama menerajui parti  dengan mencalonkan Abdul Hadi bagi mempertahankan jawatan presiden parti untuk pemilihan parti Jun ini.

Beliau berkata perwakilan yakin kepimpinan ulama wajar diketuai Abdul Hadi yang membawa kemenangan besar kepada Pas sejak menjadi presiden.

Mohd Prasad turut menyelar tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi berhubung isu hudud yang  dilihat bertentangan dengan amalan demokrasi. 


Bagi jawatan Timbalan Presiden, Pas Kawasan Klang  mencalonkan Tuan Ibrahim Tuan Man. 
Mohd Amar, Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk  Iskandar Abdul Samad dan Anggota Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan masing-masing dicalonkan untuk jawatan naib presiden. - Bernama