• Hudud
1 / 1
SEREMBAN –  PKR Cabang Rasah menegaskan kenyataan Naib Ketua Cabang itu, Norizam Yassin yang kecewa parti berkenaan menolak hudud adalah kenyataan peribadi dan bukannya mewakili cabang berkenaan.

Ketuanya, R.Thangam berkata, selaku ketua cabang dia sendiri tidak boleh membuat keputusan melainkan atas persetujuan bersama ahli jawatankuasa.

“Dia buat kenyataan tanpa pengetahuan dan perbincangan dalam mesyuarat. Itu kenyataan dia secara individu dan saya tak persoalkan.

“Tapi bila dia sebut pemimpin cabang, itu yang saya tak boleh terima. Saya terkejut sangat bila baca kenyataan dia, sekurang-kurangnya dia perlu berbincang dengan saya dan bukannya buat sesuka hati," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin kata tak kenal ahli PKR sokong hudud]

Beliau berkata, tindakan dibuat Norizam adalah melanggar perlembagaan parti.

Thangam berkata, dia sendiri telah mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu daripada Norizam yang mengaku kenyataan dan kehadirannya pada sidang media di Shah Alam kelmarin, bukan mewakili PKR Cabang Rasah.

Naib Ketua Pemuda AMK Negeri Sembilan, Gary Marimuthu menyifatkan tindakan Norizam yang membuat demonstrasi dan memberi kenyataan media tanpa pengetahuan dan persetujuan bersama pihaknya telah memberi tanggapan buruk kepada cabang berkenaan.

“Saya memang terkejut sebab kita di dalam ahli jawatankuasa cabang langsung tidak mengetahui perkara ini.

“Sebelum buat apa-apa kenyataan atau demonstrasi dia sepatutnya perlu minta kebenaran dari parti seperti dinyatakan di dalam perlembagaan.

Tapi bila dia bertindak sesuka hati macam itu secara tak langsung telah burukkan nama cabang dan Ketua Cabang sendiri,” katanya.

Sementara itu, Norizam ketika dihubungi Sinar Harian selepas sidang media itu mengakui kenyataannya yang tersiar di Sinar Harian, tiada kaitan dengan PKR Cabang Rasah.

Menurutnya, kehadirannya pada sidang media tersebut sebagai mewakili kebanyakan suara di peringkat akar umbi yang kecewa dengan pendirian pimpinan tertinggi parti menolak pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

“Memang betul kenyataan saya tiada kaitan dengan cabang saya, Rasah dan saya pun akui di peringkat cabang saya sendiri tiada sebarang mesyuarat untuk sokong atau menolak hudud.

“Cuma kehadiran saya hanya mewakili kebanyakan ahli akar umbi secara keseluruhan termasuk orang Islam yang begitu kecewa dengan pendirian diambil pimpinan tertinggi parti berkenaan isu hudud,” katanya.