• Khalid SamadKhalid Samad
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad menyifatkan hampir mustahil untuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memungkiri janji selepas mempersetujui sesuatu perkara.

Beliau berkata, sifat tidak mungkir janji ini adalah bersesuaian dengan akhlak Abdul Hadi sebagai pemimpin Islam.

Bagaimanapun, Khalid berkata, beliau tidak dapat pastikan sama ada tuduhan DAP terhadap Presiden Pas itu benar atau sebaliknya kerana tidak terlibat dalam mesyuarat Majlis Presiden.

“Namun, saya yakin ianya hampir mustahil untuk seorang pemimpin gerakan Islam memungkiri janji dan melanggar sesuatu yang telah dipersetujui bersama.

“Ianya adalah akhlak yang asasi untuk pemimpin gerakan Islam supaya bertindak secara ‘siddiq dan amanah’, tidak bercakap dusta dan tidak memungkiri janji. Oleh itu, suasana ini adalah hasil salah faham atau DAP membuat tuduhan palsu,” katanya melalui tulisan terbaru di blognya.

Sebelum ini, DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa pihaknya sepakat untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi ekoran tidak boleh bekerjasama dengan pemimpin nombor satu itu lagi.

Abdul Hadi didakwa telah melanggar keputusan Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari dan 12 Mac lalu berhubung pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) mengenai kuasa mahkamah syariah.

Namun, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata beliau lebih cenderung untuk menganggap krisis antara DAP dan Abdul Hadi itu hanya salah faham.

“Saya merasakan mungkin juga punca masalah adalah sikap setiap parti terhadap kedudukan dan peranan Majlis Presiden itu sendiri. Mungkin Pas melihatnya sebagai medan perbincangan di mana keputusan yang dibuat tidak mengikat mana-mana parti. Sambil DAP dan PKR mungkin menganggap sebaliknya.

“Namun begitu, sudah pasti ia berbeza sekiranya ianya telah dibincangkan terlebih dahulu dan dipersetujui akan tindakan bersama mengenainya. Sekiranya dibincang dan dipersetujui bersama akan sesuatu tindakan bersama, melanggar janji dan persetujuan tersebut sudah pasti tidak berakhlak,” katanya.

Meskipun begitu, Khalid akui tidak boleh memberi respons lebih kerana tidak mempunyai maklumat sepenuhnya.

“Namun, pimpinan atasan, khususnya mereka yang hadir mesyuarat Majlis Presiden, ada maklumat dan boleh bertindak berdasarkan maklumat tersebut. Ini adalah kerana mereka tahu apa yang berlaku.

“Walau bagaimanapun, biarlah tindakan itu secara bijaksana dan bukan melulu dan dengan tujuan memperbaiki dan bukan untuk meruncingkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat Abdul Hadi perlu menyatakan perkara sebenar sekiranya tuduhan DAP itu tidak benar.