• Calon Pas yakin diterima pengundi Cina Ahmad Fathan (tiga, kanan) berbual dengan pengundi Cina di Kampung Pulau Gajah ketika turun padang bertemu mata dengan mereka di sini, baru-baru ini.
1 / 1
KOTA BHARU - Walaupun baru pertama kali bertemu secara empat mata dengan pengundi Cina di Dun Chempaka, namun calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood@ Mahamad yakin akui menerima maklum balas positif daripada kumpulan minoriti di Dun berkenaan.

Ahmad Fathan berkata, bekas penyandang kerusi Dun berkenaan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan asas yang cukup kuat dalam kalangan pengundi di kawasan tersebut termasuk pengundi Cina.

“Hari ini (semalam), kita turun padang untuk bertemu mata dengan pengundi Cina, rata-rata mereka sudah mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Pas.

“Malah ketika zaman Allahyarham Tok Guru (gelaran kepada Nik Abdul Aziz) mereka dilayan sama rata, tidak pernah dipinggirkan, sebab itu dalam kalangan mereka sudah sinonim dengan Tok Guru,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Gajah di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fathan berkata, terdapat 33 keluarga kaum Cina di Dun berkenaan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,.

Beliau berjanji sekiranya diberi kepercayaan menjadi Adun di kawasan tersebut, tugasnya untuk menjaga kebajikan mereka sebagaimana dilakukan Tok Guru akan diutamakan dan diteruskan.

Menurutnya, tugas beliau kini menyambung legasi Allahyarham Tok Guru dan menambah baik usaha-usaha yang dilakukan sepanjang lebih 25 tahun Pas menguasai Dun berkenaan.

Sementara itu, rata-rata kaum Cina di Sabak dan Pulau Gajah mengakui sokongan mereka terhadap parti itu tidak akan pernah berubah kerana golongan ulama dan pemimpin Islam sudah cukup sinonim bagi mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Fathan berkata, sehingga semalam lebih 50 peratus pengundi di kawasan berkenaan ditemui termasuk dari 10 Unit Peti Undi (UPU) yang terdapat di Dun tersebut.

Beliau yakin akan dapat bertemu semua pengundi menjelang PRK 22 Mac depan sebagai tanda perkenalan dan permulaan dengan rakyat di kawasan tersebut.