• Niat gulingkan presiden sejak 1998 lagi Dr Zuhdi (kanan) bersama sebahagian jawatankuasa, ahli panel dan pengendali Wacana Ilmiah Pas: Semalam, Hari Ini dan Esok di Dewan Purnama Pejabat Pas Pengkalan Chepa, semalam.
1 / 1
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Gerakan untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh kumpulan tertentu dikatakan sudah bermula sejak 1998 lagi dan ia dianggap serius dengan niat untuk mensabotaj.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, beliau difahamkan pada tahun tersebut Pas begitu terbuka menyebabkan kemasukan banyak kumpulan luar.

“Kumpulan ini membentuk pasukan di dalam Pas, sedangkan budaya berkumpulan ini tiada dalam Pas.

“Ia muncul selepas itu dan sekarang ini semakin membarah,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Ilmiah Pas: Semalam, Hari Ini dan Esok di Dewan Purnama Pejabat Pas Pengkalan Chepa, di sini, malam semalam.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Pemuda Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim pada 8 Februari lalu yang mendedahkan terdapat usaha untuk menguasai Pas Pusat dan menjatuhkan Abdul Hadi.

Norzazilafadli juga mengemukakan akaun berkanun yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman bagi menjatuhkan Presiden Pas yang terdiri daripada kalangan pemimpin Pas Pusat serta kumpulannya yang berada dalam sebuah kumpulan menggunakan  aplikasi WhatApps sebagai medium komunikasi.

Wacana dikendalikan moderator, NorAzariza Mohd Alawi turut mengundang dua lagi panel iaitu AJK Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor dan Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Zuhdi berkata, apa yang menjadi cabaran kepada Pas pada masa ini apabila parti itu kini menghadapi ‘wajah sebenar’ DAP walaupun Pas menganggap wajah dahulu tidak mungkin berulang dan ia dianggap tidak sama.

“Bagaimanapun, kita hadapi cabaran ini cukup besar, yang mana kita lihat ada ruang kukuh bagi hubungan dengan DAP dan PKR. Dengan harapan DAP dan PKR memahami susun galur pembentukan masyarakat Malaysia. Itu paling penting,” katanya.

Ditanya mengenai langkah Pas bagi mengatasi masalah berpuak-puak, beliau berkata, dalam gerakan Islam memang ada kumpulan seperti ini dan akhirnya berpecah.
“Saya yakin selepas Muktamar 2015 akan berlaku seperti itu, akan ada dua kumpulan ia berpecah dari Pas membina parti baru. Itu yang saya nampak dan itu penyelesaian menyebabkan Pas kembali harmoni,” katanya.

Beliau berpendapat, bagi Pasma, gerakan itu akan keluar menjadi sebuah parti baru kerana ia perlu mendapat sokongan kuat daripada rakan-rakan pakatannya.

Mengenai cabaran lain yang sedang dihadapi Pas, beliau berkata, parti itu sekarang sedang berhadapan dengan wajah sebenar DAP, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, terutama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Kita (Pas) perlu hadapi cabaran itu dengan jiwa besar iaitu kita masih melihat ada ruang perkukuhkan hubungan dengan DAP dan PKR tetapi dengan harapan DAP dan PKR faham susur galur pembentukan masyarakat dan negara Malaysia,” katanya.