• Tuan Ibrahim Tuan ManTuan Ibrahim
 1 / 2 
KOTA BHARU - Tindakan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang mengesahkan bertanding jawatan Presiden Pas seolah-olah melanggar tradisi parti Islam itu.

Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam Pas.

"Walaupun ia dibolehkan kerana atas nama demokrasi, tetapi dengan pencalonan kita boleh tahu, apa tujuan bertandingan, kita akui akan ada yang undi tetapi untuk apa.

"Kepimpinan (presiden) kalau ada yang tidak betul kita boleh bincang, jangan kita mulakan sesuatu baru, ia akan menjadi tradisi, dalam sejarah Pas tidak pernah ada lawan presiden," katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Israk Mikraj anjuran Muslimat Pas Kota Bharu di JKR 10 hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Awang sah cabar Abdul Hadi]

Semalam, Ahmad mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan Presiden Pas pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Beliau yang hadir sendiri menyerahkan borang penerimaan pencalonan jawatan itu kira-kira jam 10.50 pagi tadi itu bagaimanapun berkata, soal kalah atau menang itu terletak di tangan perwakilan.

"Saya menerima pencalonan untuk jawatan presiden sahaja daripada beberapa jawatan lain termasuk pemeriksa kira-kira.

"Saya menyahut panggilan ini selepas berfikir panjang dan sahabat yang mendorong saya menerima jawatan ini, maka saya tidak mahu mengecewakan mereka," katanya kepada pemberita di pekarangan Pejabat Agung Pas, semalam.

Ahmad melayakkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Pas selepas dicalonkan oleh Pas Kawasan Bukit Gelugur.