1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu royalti dan menuntut hak sewajarnya hasil petroleum daripada kerajaan persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia bukan hanya melibatkan hak kerajaan negeri, malah hak rakyat dan juga hak pembangunan negeri Terengganu.

Menurutnya, beberapa projek pembangunan kerajaan pusat di negeri ini menggunakan wang dana khas yang disifatkan sebagai menggunakan duit kerajaan negeri termasuk projek Lebuh Raya Pantai Timur II (LPT II) sebanyak RM1.8 bilion.

“Jadi, perkara inilah sebenarnya menjadi perjuangan kami, bukan hanya kami hendak mendapatkan semula duit sepatutnya kami terima yang belum lagi dijelaskan tetapi juga memastikan Terengganu akan mendapat peruntukan pembangunan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena Sidang Dun ke-13 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad Razif menjelaskan, Terengganu memperoleh lebih kurang 15 peratus daripada hasil petroleum iaitu lima peratus secara tunai dan 10 peratus dari sudut pembangunan.

Kata beliau, peratusan itu lebih kecil berbanding negeri lain seperti Sabah sebanyak 60 peratus dan Sarawak 35 peratus.

Manakala Kelantan menikmati pembangunan sebanyak 500 peratus daripada hasil petroleum walaupun tidak memperoleh royalti.

“Jadi, ini satu perjuangan kepada kami di barisan kerajaan, bukan hanya kita nak menuntut untuk mendapat hak kerajaan negeri, hak rakyat tetapi juga kita hendak menuntut hak pembangunan negeri Terengganu,” katanya.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut memahami isu yang berlaku khususnya peruntukan Petronas yang diberi kepada kerajaan pusat sebanyak RM27 bilion sebelum ini berkemungkinan dikurangkan kepada RM11 bilion sahaja pada tahun ini.

Bagaimanapun, pihaknya tetap dengan pendirian memperjuangkan hak kerajaan negeri namun menggunakan pendekatan lebih berhemah dan meminta semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang sama-sama bersatu dalam memperjuangkan isu itu.

“Di sini anak, di sana ayah. Jadi elok benarlah anak mohon daripada ayah dengan sebaik-baiknya dengan penuh berhemah, dengan penuh kelembutan.

"Sudah pasti hati ayah akan terbuka untuk membantu anak kerana perjuangan ayah hari ini, sudah pasti ayah sanggup mati kerana anak tetapi anak tidak pasti lagi boleh mati untuk ayah.

“Bagaimanapun saya yakin dan percaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, beliau sangat prihatin dan akan memastikan hak dan perkara yang akan dituntut kerajaan ini akan dapat kita tangani dengan sebaik-baiknya.

“Yang mustahak ialah permuafakatan, yang mustahak cara kita solidariti, inilah yang paling mustahak,” katanya.