• Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pas perlu menyelesaikan masalah pertembungan dua golongan dalam parti itu antara kumpulan ulama dan profesional yang dilihat semakin membarah jika tidak mahu ia berpecah dua.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, selagi masalah dalaman itu tidak diatasi segera, Pas sukar menjadi sebuah parti yang kuat susulan konflik itu kini menjalar ke peringkat akar umbi dan sayap parti itu.

"Atas dasar itu kita lihat Pemuda Pas sendiri tidak dapat muncul sebagai satu badan yang kuat, yang bersatu, mereka sekarang dibelenggu dengan konflik pertembungan ulama dengan bukan ulama.

"Tetapi isu yang menjadi masalah sekarang ini Pas sendiri berdepan dengan ujian dengan pertembungan dua kumpulan ulama dan bukan ulama yang menyebabkan Pas hampir-hampir terbahagi dua," katanya kepada Sinar Online.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan konflik itu hanya dapat diselesaikan melalui proses demokrasi parti pada Muktamar Tahunan Pas ke-61 pada awal Jun ini.

"Selagi tidak selesai Muktamar Pas ini, saya ingat masalah ini akan berterusan.

"Mungkin selepas selesai muktamar, kita dapat melihat siapa yang boleh menentukan hala tuju Pas, barulah kita dapat melihat Pas dalam bentuk berbeza sedikit daripada Pas pada hari ini," jelasnya.

Ditanya mengenai pemimpin masa depan Pas yang boleh mengembalikan kegemilangan parti itu, beliau berkata Nasrudin Hassan, Mohd Khalil Abdul Hadi dan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz antara pemimpin muda yang potensi untuk menyelamatkan Pas.

"Saya melihat Nik Abduh juga masih muda untuk memegang jawatan sebagai ketua pemuda Pas akan datang.

"Dia juga adalah calon yang sesuai, dengan perwatakannya, latar belakang agamanya, dan juga keluarganya.

"Anak Hadi (Mohd Khalil) masih belum cukup pengalaman, belum nampak lagi daya kepimpinannya," katanya lagi.