• Mohd Asri Zainal AbidinProf Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin
 1 / 1 
SHAH ALAM - Veteran Umno hari ini mendesak Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya meletak jawatan dan menyertai politik atau menubuhkan parti baharu  bagi membolehkan beliau bergerak bebas dalam politik tanpa mencemarkan institusi mufti.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ‎pihaknya melahirkan rasa kesal dengan tindakan Mohd Asri yang sejak kebelakangan ini sering mengkritik kerajaan secara terbuka melalui facebooknya.

"Walaupun Mohd Asri boleh berbuat begitu tetapi langkahnya itu mencemarkan institusi mufti yang disegani dan dihormati sebagai sumber terakhir dan pemutus kepada soal-soal hukum hakam dalam Islam.

"Jadinya, adalah lebih baik Mohd Asri meletak jawatan sebagai mufti dan bergiat cergas dalam politik tanpa menjejaskan kemuliaan Institusi mufti di negara ini," katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, oleh itu pihaknya mencadangkan agar kerajaan Negeri Perlis mengkaji semula pelantikan Mohd Asri.

"Oleh kerana kuasa pelantikan mufti di bawah kuasa kerajaan negeri, maka Veteran Umno mencadangkan kerajaan negeri Perlis mengkaji semula pelantikan Mohd Asri sebagai Mufti Perlis demi untuk menjaga nama baik Tuanku Raja Perlis dan kredibiliti istana sebagai ketua agama negeri Perlis," katanya.