• Analisis Berita
 1 / 1 
MENGURANGKAN majoriti undi PKR pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang dipegang selama 17 tahun oleh parti itu semalam, adalah suatu yang membanggakan BN, namun parti pembangkang menang kerana berjaya mengeksplotasi isu-isu nasional untuk memastikan kemenangan masih berpihak kepada mereka.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN tidak seharusnya berpuas hati, sebaliknya perlu bekerja lebih keras memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14, dengan menangkis secara efisien tanggapan dan pandangan negatif tentang isu negara yang dihangatkan pembangkang.

Katanya kali ini isu seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) patut dijelaskan dengan lebih baik oleh BN kerana ini yang menjadi faktor penolakan pengundi terhadap parti.
  
"Isu nasional telah mempengaruhi undian semalam. Isu CBP telah dimainkan pembangkang sehingga isu-isu tempatan tidak diberi kepentingan oleh pengundi.


Isu pembangunan dilihat tidak relevan di Permatang Pauh. Perkara-perkara sebegini wajar dinilai BN," katanya kepada, hari ini.

Keputusan PRK Permatang Pauh menyaksikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi mengalahkan calon BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.

Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi. Undi rosak ialah 843 undi.

Mengikut statistik PRK Permatang Pauh, undi yang memihak kepada PKR kali ini menurun 1.39 peratus, dengan memperoleh sebanyak 30,316 undi (57.04 peratus) berbanding undi yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 sebanyak 37,090 undi (58.43 peratus).

BN memperoleh jumlah undi sebanyak 21,475 (40.4 peratus), meningkat sedikit berbanding 25,369 undi (39.97 peratus) pada PRU13. 

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sasaran mengundi untuk PRK ini sebanyak 80 peratus tidak tercapai apabila jumlah yang keluar mengundi hanya 74 peratus.


Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula menyifatkan BN sukar mendapat kemenangan di Permatang Pauh berikutan faktor Anwar.

Beliau berkata walaupun BN dapat mengurangkan isu-isu tempatan di kawasan itu, ia tidak cukup untuk parti itu melakar sejarah baharu kerana pengundi dilihat masih taksub terhadap legasi Anwar (yang kini menjalani hukuman penjara kerana kesalahan liwat).
  
"Mereka (pengundi) masih mahukan legasi Anwar. Prinsip berpegang kepada PKR masih kuat, sehingga tak cukup daya untuk memberi undi kepada calon BN. Saya fikir ada juga pengundi masih tak keluar mengundi kerana sebahagian tak berpuas hati dengan isu semasa yang mendominasi.


"Isu semasa juga telah dieksploitasi dengan baik. Dengan adanya isu CBP dan 1MDB, ia memberi kesan yang sangat besar. Agak malang kepada BN isu ini tengah hangat ketika mereka menghadapi pilihan raya kecil," katanya.

Beliau berkata BN perlu menangani isu-isu berbangkit itu segera bagi membolehkan parti mengekalkan kedudukan mereka dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya mentaliti pemimpin dalam BN juga perlu diubah seperti jangan terlalu taksub kepada seseorang pemimpin sehingga ketandusan pemimpin yang berkaliber.
"Jangan terhad pemilihan itu, beri banyak peluang kepada orang bijak pandai dalam Umno," katanya.
  
Mengulas mengenai calon BN untuk PRK itu, Ahmad Atory berkata Suhaimi mempunyai peluang cerah dalam arena politik berdasarkan kepada komitmen, kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang pilihan raya kecil itu. - Bernama