• Mohd Shafie ApdalMohd Shafie Apdal
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Nur Fitri Azmeer Nordin tidak dibenarkan membuat rayuan dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk meneruskan pengajian di bawah tajaan agensi itu selepas dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di London kerana kesalahan memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak.

Beliau berkata kementerian dan Mara juga tidak akan melakukan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan Nur Fitri Azmeer, 23, yang menuntut jurusan matematik di Imperial College London.

"Namun, anggota keluarga Nur Fitri Azmeer dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman itu," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini. 

Shafie berkata beliau tidak menyokong dan menolak sama sekali sebarang aktiviti berkaitan pornografi.


Sambil menegaskan kementerian dan Mara memandang serius perkara itu, beliau mengingatkan semua penuntut tajaan Mara supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan di mana sahaja mereka berada.

Menurut laporan media, Nur Fitri Azmeer ditahan semasa serbuan polis di tempat tinggalnya di Queensborough Terrace pada 20 November 2014.

Dia mengaku bersalah di mahkamah terhadap 17 kesalahan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya. - Bernama