TANJONG KARANG - Tindakan Adun Selangor daripada Pas yang mahu menyertai Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) dilihat bakal mengukuhkan kedudukan DAP dalam kerajaan negeri Selangor.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata ini kerana Harapan Baru lebih pro kepada DAP, sekali gus akan memberi kesan kepada kedudukan Menteri Besar, daripada PKR.

Dilaporkan, dua Adun Pas di Selangor iaitu Morib, Hasnul Baharuddin dan Hulu Kelang, Saari Sungib serta Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud akan menyertai Harapan Baru.

Ketika ini Pas memiliki 15 kerusi Dun, DAP (15), PKR (13), manakala BN 12 dan Bebas (1).

“Apa yang kita lihat, pakatan pembangkang pun tiada pendirian sendiri. Apa jua keputusan kena rujuk pada DAP kerana kalau DAP tak sokong, mereka akan kurang sokongan.

“Sama juga berlaku di Selangor. DAP majoriti dan Pas pula masih bergolak maka diramalkan Azmin akan mentadbir kerajaan negeri secara boneka,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka, semalam.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Harapan Baru dan pergolakan Pas dalam memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan Selangor.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor berkata, tidak mustahil sekiranya DAP akan meminta jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Selangor pada masa depan.

Semalam, Hasnul dan seorang lagi bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefli Ahmad menegaskan bahawa Adun daripada Pas yang menyertai Harapan Baru tidak perlu mengosongkan kerusi.

Sementara itu Noh berpendapat, Pas tidak sepatutnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sedangkan gabungan bersama dalam pakatan pembangkang itu berjaya menawan Selangor.

Beliau berkata, tanpa Pas sekalipun DAP dan PKR akan dapat teruskan pentadbiran mereka di negeri ini kerana mereka mempunyai 30 kerusi. 

“Ini bermakna yang akan mendominasi pakatan pembangkang di Selangor adalah DAP manakala PKR tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan DAP jika mahu terus berkuasa.

“Walaupun DAP mengekalkan Azmin sebagai Menteri Besar, beliau berkemungkinan hanyalah Menteri Besar yang akan mengikut telunjuk DAP sahaja,” jelasnya. 

Terdahulu, Noh menyampaikan sumbangan kelengkapan haji kepada 68 bakal jemaah dan wang tunai kepada 120 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi peringkat Parlimen Tanjung Karang.