KUALA LUMPUR - Himpunan yang dianjurkan gabungan anak muda 'Demi Malaysia' jam 2 petang ini dicemari dengan insiden balingan mercun.

Pihak polis yang bertugas menahan individu yang mencetuskan provokasi dalam himpunan ini.

Seawal jam 1.40 petang lagi, anggota polis sudah berkawal di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo yang kini ditutup sekitar jam 2.30 tadi ekoran perhimpunan itu.

Beberapa pengusaha di sekitar kompleks di sini juga turut menutup premis mereka kerana bimbang dengan insiden yang dicetuskan peserta himpunan.

Terdahulu, polis memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan #TangkapNajib bagi menggesa penangkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur dan orang awam yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.