JERLUN - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir 

mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah 
menawarkan jawatan menteri di peringkat Pusat sekiranya beliau 
melepaskan jawatan menteri besar ketika Kedah berdepan krisis
politik,akhir Januari lalu.

Namun demi amanah yang diberikan rakyat Kedah, Adun Ayer 
Hitam itu tidak tergamak mengkhianati kepercayaan yang diberikan
 setelah menang dalam PRU13 lalu.

“Perdana Menteri berjanji melantik saya sebagai timbalan menteri 
dan selepas beberapa bulan ditawarkan jawatan menteri penuh, 
sekiranya saya setuju melepaskan jawatan menteri besar ketika itu.

"Saya tolak demi kepentingan parti, kerana mahu pastikan rakyat 
masih sokong BN pada PRU14 nanti,” katanya, ketika berucap 
pada program bersama Yayasan Prihatin sempena penyampaian 
zakat oleh Pharmaniaga kepada 125 asnaf di  Dewan Kampung 
Kuala Jerlun, semalam.

Menurutnya, walaupun ditawarkan ganjaran sedemikian, beliau 
memutuskan untuk terus bersuara mewakili rakyat dengan 
membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat.

“Saya tahu pucuk pimpinan mahu saya digantikan atas sebab-sebab
 tertentu, namun saya pilih untuk tidak mengkhianati amanah rakyat 
Kedah. Jika saya terima, seolah-olah saya jual maruah. Saya tak 
tergamak,” katanya, yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Mukhriz turut memperjelaskan antara punca berlakunya krisis politik
 Kedah, antaranya berkisar kepada ucapannya membangkitkan 
kelemahan pucuk pimpinan dan parti pada sebuah program di 
Saloma Bistro, Disember lalu.

“Itu antara sebab saya disingkirkan, kritikan terhadap isu 1Malaysia 
Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion. Perkara ini 
membimbangkan kerana berkait dengan integriti pemimpin kita,” 
katanya.

Menurutnya, bukan niatnya untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya
 mahu mengukuhkan kedudukan BN yang kini dianggap lemah 
berikutan beberapa tindakan oleh pucuk pimpinan dipertikaikan rakyat.

“Sekiranya pelbagai isu itu tidak diatasi sebelum PRU14, BN akan 
berdepan masalah dan tidak mustahil pembangkang akan naik kelak
. Saya akan berjuang habis-habisan walaupun terpaksa melalui 
pelbagai cabaran dan halangan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakannya kebelakangan ini secara terbuka ‘
menegur’ Perdana Menteri, Mukhriz bertegas akan terus menggunakan
 pendekatan itu berikutan saluran yang dibenarkan dalam parti disekat.

“Ketika bergelar menteri besar pun saya sudah mula menegur beliau, 
apabila tiada jawatan akan beri saya lebih ruang bersuara. Ada
 kalangan pemimpin kata, kalau mahu tegur ikut saluran betul, saluran
 mana lagi boleh kita tegur jika dalam Perhimpunan Agung Umno pun
 disekat. Saya tiada pilihan selain bercakap secara terbuka supaya 
pucuk pimpinan faham apa yang terbuku dalam hati rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai perubahanpimpinan Umno Kedah yang menyaksikan 
pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah 
berkuatkuasa Khamis lalu, Mukhriz berkata, beliau tidak dimaklumkan
 secara rasmi.

“Saya digugurkan sebagai Pengerusi Umno Kedah pun tidak dimaklum,
 itulah cara sekarang. Saya tahu menerusi WhatsApp sahaja, di mana
 keluar kenyataan mengenai pelantikan baharu, namun tidak disebut 
mengenai pengguguran saya,” katanya
.