KOTA BHARU - "Bilangan wanita yang terjebak dengan gejala dadah
 di Kelantan semakin membimbangkan dengan kebanyakannya mula 
terlibat seawal usia 12 tahun," kata Timbalan Ketua Pengarah 
(Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin.

Beliau berkata, seramai 55 penagih wanita direkod tahun lalu berbanding
 44 orang pada 2014.

"Ini merupakan satu ancaman dan masalah sosial yang serius yang
 tidak boleh kita biarkan merebak kepada golongan berkenaan," katanya
 kepada pemberita pada majlis perasmian program Jelajah AADK 
Sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 
oleh Pengerusi Skuad 1Malaysia Negeri Kelantan, Datuk Abdul Aziz
 Derashid yang juga Adun Kuala Balah, di sini hari ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan kini ditempatkan di Pusat Pemulihan
 Penagihan Narkotik (PUSPEN), Bachok.

Menurutnya, jumlah keseluruhan penagih dadah di Kelantan turut 
meningkat dengan seramai 3,289 orang tahun lepas berbanding
 2,426 orang pada 2014.

"Peningkatan penagih dadah di negeri ini disebabkan faktor kemiskinan
 tegar dan kebiasaannya mereka menghadapi masalah dalam pembelajaran,"
katanya. - Bernama