KUALA LUMPUR – Pelantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din 
sebagai ketua kluster dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) membuktikan
 segala usaha parti Islam itu selama ini termasuk Islam sebagai dasarnya
 telah diterima baik oleh Kerajaan Malaysia.

Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pemilihan
 tokoh Pas itu ke dalam organisasi berkepentingan kerajaan itu juga 
merupakan satu pengiktirafan kepada parti Islam itu.

“Kami ucapkan tahniah kepada pihak kerajaan kerana telah memilih Datuk
 Dr Haron Din. Apabila beliau dipilih, maknanya usaha-usaha Pas itu (selama
 ini) diterima oleh pihak kerajaan.

“Kami harap ia merupakan satu langkah yang positif untuk Pas bersama 
rakyat Malaysia bagi kita memulakan wacana lebih terbuka dan kefahaman
 Islam,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Haron sebagai pengerusi kluster dakwah MPI 
oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang
 diadakan pada Jumaat lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Haron Din dilantik ketua kluster dakwah MPI]


Dalam pada itu, Mohamad Abduh berkata, penglibatan pemimpin Pas dalam
 mana-mana sektor kerajaan menunjukkan Pas tidak hanya terlibat dalam 
politik semata-mata.

“Kami sentiasa ulang kepada masyarakat bahawa kami turut terlibat dalam
 usaha-usaha dakwah memperkenalkan Islam yang sempurna dan
 komprehensif kepada rakyat Malaysia sebagai satu cara hidup,” katanya.