SHAH ALAM - Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti 

Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berpendapat, satu
 kelebihan kepada Pas sekiranya mereka menerima semula ahli- ahli Amanah
 jika benar mereka mahu kembali kepada Pas.

Beliau berkata, Pas sedang dalam proses pengukuhan semula setelah 
berlaku perpecahan dengan Amanah, pastinya kemasukan semula bekas
 ahli akan memberi kekuatan pada Pas khususnya bagi politik Kelantan.

“Pas sebagai suatu parti lama pastinya pandai menilai sejauh mana kekuatan
 Amanah kerana Amanah adalah serpihan Pas.

"Kelebihan kepada Pas sekiranya mereka terima kembali. Lagi pun, 
fenomena lompat parti ini adalah lazim dalam politik.

Mungkin ini masanya untuk Pas menunjukkan kekuatan sebenar ketika
 PRU14 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Fuad berkata, Amanah adalah parti baharu dan ia pasti akan melalui
 fasa penubuhan dan pengukuhan dengan menerangkan kepada umum
 apakah dasar serta perjuangan mereka.

“Pastinya rakyat juga memerlukan masa untuk mengenalinya (Amanah). Pada
 masa sama, tidak mustahil sekiranya ahli mereka akan kembali ke asal jika
 mereka kurang yakin dengan dasar dan perjuangan Amanah," katanya.

Dalam kenyataan lain, Pensyarah Kanan dan Penganalisis Hal Ehwal Politik 
dan Antarabangsa UUM, Md Shukri Shuib berpendapat sebaliknya.

“Jika Pas menerima semula bekas ahli yang berpaling tadah kepada Amanah,
 ia jelas menggambarkan sikap murah dan dayusnya Pas.

“Pas usah lagi berharap kepada mereka yang pernah mengkhianati 
perjuangan parti itu kerana jika tidak, Pas adalah sebuah parti yang 
tiada prinsip," katanya.

Dalam perkembangan sama, Md Shukri berkata, beliau melihat perkara 
lebih penting di mana peranan Datuk Dr Haron Din dalam Pas harus 
diperkasakan.

Katanya, golongan ultra Pakatan merosakkan Pas dari dalam serta tidak
 amanah dan Islamik hingga sanggup mengganggu kestabilan kepimpinan
 Pas hingga Presiden yang bergelar Tok Guru turut dijadikan lawan.

“Adakah itu yang dikatakan jujur dan baik dalam perjuangan Islam yang 
Pas mahukan?

Pas perlu mengasingkan tokoh, pemimpin serta ahlinya yang berpaling 
kepada Amanah dan Pro Amanah supaya tidak menjejaskan Pas dari dalam.

"Bebaskan Pas dari anasir anti ulama dan anti perjuangan Pas yang mahukan
 Islam.

Menurutnya, pertentangan Pas dan Amanah seolah- olah tidak berkesudahan
 dan Pas harus menumpukan perhatian kepada parti utama lain seperti DAP 
yang banyak menyusahkan perjuangan Pas dari awal dalam Pakatan serta 
pencetus kecelaruan antara Pas dan Amanah.

Selain itu, katanya, Pas dan Amanah adalah sama gaya dan sikap 
kepimpinannya kerana mereka datang dari 'perut' yang sama.

Menurutnya, apa yang berbeza apabila Amanah dan tokohnya dipandang
 terlalu mesra dan lebih mementingkan agenda politik, berjiwakan tokoh 
DAP dan PKR berbanding pimpinan Ulama dalam Pas sendiri.

“Kedua- dua parti antara Pas dan Amanah perlu bersikap terbuka. Jangan 
kerana politik dan berbeza parti serta lompat parti membawa kepada isu 
kafir mengkafirkan.

"Budaya Pas dan Amanah seolah-olah sama. Tunjukkan gaya politik matang
 dan rasional yang boleh jadi tauladan pada orang ramai,” katanya