Umno Kelantan yakin tawan 23 kerusi Dun
2 Ogos 2012
KOTA BHARU - Umno Kelantan tetap mempertahankan sasaran merampas 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekali gus menawan kembali negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui usaha itu bukan mudah memandangkan pilihan raya kali ini disifatkan mencabar.
"Saya tahu sukar sebab ia bukan satu pilihan raya yang senang, ia cukup mencabar, namun kita perlu bekerja bersungguh-sungguh.
"Kalau terlalu yakin kita takut akan alpa dan malas untuk membuat kerja," katanya kepada pemberita ketika majlis 'Makan Colek Bersama Media'
bersama pengamal media di sini, semalam.
bersama pengamal media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang melahirkan keyakinan Pas Kelantan mampu mempertahankan negeri ini dengan memperoleh majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, dalam kenyataan itu Mohd Amar enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.
Sebelum ini, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pernah menyuarakan sasaran untuk menawan 23 kerusi Dun daripada 45 kerusi demi memastikan kemenangan Umno di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, pemimpin Umno wajar bersatu-padu dan bekerjasama dalam menyelesaikan semua isu berbangkit yang dimainkan pembangkang demi kekuatan parti.
Beliau berkata, ketidakpuasan hati terhadap calon yang terpilih pada pilihan raya nanti perlu dihindari, sebaliknya wajar memberikan sokongan penuh terhadap keputusan pucuk pimpinan parti.
"Di sini kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, sebagai pemimpin kita kena ada disiplin dan kesetiaan kepada parti. Kita perlu mula melihat akan keadaan ini dan kena bersatu-padu menyelesaikan semua isu yang pembangkang main," katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, Umno Kelantan sedang menunggu keputusan terakhir senarai siapa calon yang akan bertanding pada PRU13.
0 orang berkata:
Post a Comment