Musa: Pilih perubahan ke arah lebih baik
January 28, 2013
KOTA KINABALU, 28 Jan – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
meminta masyarakat Sabah termasuk penjawat awam agar memastikan
perubahan yang dipilih pada pilihan raya umum akan datang adalah ke arah
lebih baik
Ini kerana katanya, tidak ada kerajaan yang sempurna dan semua yang
dilakukan kerajaan sedia ada adalah demi kebaikan rakyat agar mereka
dapat menikmati masa depan lebih gemilang.
“Sebagai negara yang demokrasi terpulang kepada rakyat menilai dalam
menentukan kerajaan masa depan kerana apa juga pertukaran yang dilakukan
diharapkan ‘change for the better’ (perubahan ke arah lebih baik),”
katanya
ketika berucap pada perhimpunan anggota perkhidmatan awam dan badan berkanun persekutuan, di sini hari ini.
Menurut Musa, berdasarkan lawatannya ke seluruh Sabah, masyarakat di
negeri itu amat menghargai dan bersyukur dengan pembangunan yang
dilaksana kerajaan.
Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan sedang melaksanakan
pelbagai perancangan menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program
Transformasi Ekonomi.
“Negara dan negeri kita aman damai, Sabah kaya-raya dengan pelbagai
khazanah alam yang menyaksikan ramai pelabur berminat melabur di mana
nilai pelaburan di Sabah meningkat kepada RM10 bilion dan kita tidak
ketinggalan dalam bidang pelancongan yang semakin maju,” katanya.
Musa turut meluahkan penghargaan kerajaan negeri kepada lebih 100,000
penjawat awam negeri dan persekutuan di Sabah yang terbabit menyumbang
kepada kemajuan negeri itu.
“Terima kasih penjawat awam negeri dan persekutuan yang membantu
merancakkan ekonomi negeri melalui peruntukan belanja mengurus yang
mencecah hampir RM7 bilion pada tahun lepas.
“Kita sebagai anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri adalah
sama sahaja. Kita saling memerlukan antara satu sama lain untuk
berganding bahu melipat ganda usaha untuk mencapai kecemerlangan demi
memastikan segala perancangan kerajaan negeri dan persekutuan berjaya
dilaksanakan dengan baik untuk faedah rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan
yang turut hadir berkata beliau dan ketua jabatan persekutuan mengambil
pendekatan turun padang bagi menyampaikan dasar kerajaan persekutuan
selain mengeratkan hubungan antara agensi pusat dan negeri.
“Saya telah melawat dan berjumpa dengan penjawat awam Persekutuan di
daerah-daerah seperti Tawau, Keningau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota
Belud dan Semporna untuk menerang dan mendengar permasalahan mereka
semasa melaksanakan dasar dan program kerajaan Persekutuan di daerah
tersebut,” katanya. – Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment