Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Tuesday, January 29, 2013

Jentera kerajaan, termasuk SB, melilau masuk kampung kempen BN Ahmad Lutfi Othman




 Penampilan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tetap tidak berubah, sama seperti gayanya semasa menteri kabinet dahulu; kemas dan rapi, masih dengan bow tie, ramah dan ceria.

Ketika berkunjung ke Jabatan Pengarang Harakah, petang 21 Januari lalu, tujuan asalnya hanya untuk "melawat rakan-rakan wartawan", selain bertemu Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS selepas itu.

"Boleh saya melawat pejabat Harakah, nak tengok kawan-kawan di sana bekerja?" suaranya jelas di hujung talian semasa saya makan tengahari Khamis 17 Januari. Tentunya hajat beliau amat saya alu-alukan.

Kadir ternyata cukup mesra, mudah diajak berbicara dan menunjukkan minat yang tinggi terhadap media, khususnya akhbar alternatif seperti Harakah. Tidak lama berada di dalam bilik saya, dia mahu melihat lebih dekat karyawan Harakah bertugas.

Agak segan saya menunjukkan bilik operasi kami yang tidak tersusun, apatah lagi ramai bercuti dan bertugas di luar pejabat, tetapi Kadir tetap bersemangat, dan saya kira ia mampu untuk memberi galakan dan dorongan kepada teman-teman yang lain. Baginya, Harakah mempunyai peranan dan tanggungjawab besar-kritikal berdepan PRU13.

"Sepanjang menjelajah seluruh negara dan turut berceramah di atas pentas PAS, saya terharu melihat komitmen tinggi penyokong dan aktivis akar umbinya. Dah lama mereka terseksa. Saya bertemu dengan ramai pemimpin PAS yang berbakat besar, berketrampilan dan berkebolehan," katanya sambil menjamah "jemput-jemput" yang disifatkannya paling enak pernah ditemuinya.
Sejak pertemuan pertama dengannya di Mines Waterfront Business Park, Seri Kembangan, saya dapat mengesan Kadir bukan sahaja begitu prihatin dengan proses pilihan raya negara kita yang tempang dan pincang, malah beliau melihat kaitan rapat dengan gejala kongkongan terhadap media, terutama yang dibiayai dana awam.

Beliau pernah mencadangkan himpunan sejuta rakyat, dengan fokus utama kepada tuntutan akses media kepada semua parti-parti yang bertanding dalam PRU13. "Boleh namakan ia Bersih 4.0 atau apa saja, yang penting kita dapat kumpulkan seramai mungkin, di stadium misalnya, tanpa sebarang gangguan dan saya sedia menawar khidmat untuk menjayakannya," kata Kadir kepada saya, Ogos 2012.

Saya kira, idea asal Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu sedikit sebanyak disumbangkan Kadir.

Dalam pertemuan Isnin lalu, minatnya masih sama. Dia juga bimbang rakyat masih terhalang daripada mengikuti maklumat dan perkembangan sebenar mengenai Pakatan. "Kita perlu lipatgandakan usaha mendekati setiap pengundi, di setiap pelosok. Jangan lupa, di zaman internet ini, masih ramai yang mudah dipengaruhi propaganda media tidak bertanggungjawab," katanya.

"Media bebas bukan bermakna waktu dua tiga minggu kita ada pilihan raya atau kempen pilihan raya yang tak sampai dua minggu itu. Jika hanya waktu itu baru diberi peluang terhad agar pembangkang menceritakan sedikit sebanyak manifesto, itu bukan bermakna media yang bebas," tegas Kadir.

"Kita nak bebas sekurang-kurangnya dari sekarang. 'Countdown period' ini. Sepatutnya sepanjang masa. Tapi tak mengapalah kalau media nampak bebas mulai dari sekarang. Bermakna berilah masa kepada semua parti politik memberi hujah menerusi televisyen, radio dan juga akhbar arus perdana.

"Atau diadakan sesi perbincangan seperti sewaktu saya jadi Menteri Penerangan dulu. Adakan debat perdana, kumpulkan wakil parti-parti kerajaan dan pembangkang, berbahas mengenai isu-isu tertentu," tambahnya penuh yakin.

Semasa sesi wawancara yang pada mulanya dijadualkan ringkas dan santai, Kadir menarik perhatian kami dengan isu penyalahgunaan jentera dan kemudahan kerajaan, yang berkempen untuk Umno-BN. Rupanya interviu itu berakhir menjelang solat Maghrib, memakan masa hampir satu setengah jam.

Sekali lalu, isu manipulasi jentera kerajaan itu seperti persoalan lapuk dan "basi" yang berulang kali disebut ketika menjelang pilihan raya, namun bagi Kadir, kelaziman menjolok mata itu perlu dihentikan.

"Menggunakan duit rakyat, agensi kerajaan seperti Kemas, Jasa, Felda, Risda, termasuk pasukan keselamatan dan polis Cawangan Khas, yang dikerah masuk kampung, tinggal bersama mereka, semata-mata berkempen untuk memenangkan BN," jelasnya lagi.

"Dan hal ini sudah lama berjalan. Berselindung di sebalik program kerajaan, mereka bebas mempengaruhi penyokong pembangkang," tambah Kadir. "Salahguna seperti ini tidak berlaku lagi di negara-negara yang maju dari segi amalan demokrasinya, termasuk di Indonesia."


"Penyokong Pakatan di seluruh negara harus membuat laporan polis jika ada bukti-bukti salahguna jentera kerajaan ini," katanya. Saya bersetuju. Tekanan mesti dipertingkatkan, terutamanya dengan bukti-bukti nyata yang sukar ditolak.

Kadir juga mengkritik keras sikap Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dilihatnya, tidak serius dan sering berdolak-dalik daripada melaksanakan tugas asasinya iaitu menjalankan pilihan raya secara adil, bebas dan bersih.

Beliau mahu SPR proaktif menegur, berunding dan menasihati kerajaan agar manipulasi jentera dan kemudahan awam dihentikan, bukan hanya sewaktu kempen, tetapi juga dalam tempoh "countdown" seperti sekarang.

"Saya nampak SPR ini keliru sikit dengan tanggungjawab mereka. Tanggungjawab SPR adalah memastikan pilihan raya diadakan dengan cara adil, telus dan sempurna. Sekarang SPR kata, itu kerja kerajaan, bukan kerja kami," kata Kadir.

"Misalnya bila kita tuntut media bebas waktu pilihan raya, jawapan dia, itu bukan tanggungjawab SPR, itu soal kerajaan. RTM, kerajaan punya; Astro orang lain punya; TV3 syarikat lain pula. Jadi dia tidak bertanggungjawab.

"Tapi SPR lupa, itu tanggungjawab dia, untuk berunding dengan kerajaan. Semuanya prasyarat penting wujudkan pilihan raya bebas. SPR kena bertanggungjawab berunding dengan kerajaan, memujuk kerajaan supaya buka sikit kebebasan media waktu pilihan raya. SPR tak boleh kata, ini soal kerajaan, bukan di bawah bidang kuasa kami," jelasnya panjang lebar.

Ya, memang menjolok mata sekali daleh SPR -- terutama kenyataan Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar -- seolah-olah mereka begitu daif, lemah dan tiada kuasa sehingga membiarkan saja (sebenarnya turut mendorong dan memudahkan) Umno melakukan "korupsi terbesar" untuk menang PRU13.

Wan Ahmad yang disyaki terbabit langsung menjayakan banyak konspirasi dan komplot bersama Umno itu, tidak harus "dilepaskan" begitu sahaja. Tidak mustahil banyak perencanaan liciknya yang masih belum dapat kita hidu, dan hanya dapat dijejaki selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti. Waktu itu sudah terlambat.

Ada benarnya juga, terkadang kita menganggap remeh dan "lali" untuk berterusan mendesak SPR dan kerajaan, apatah lagi ketika semua sibuk dengan persiapan terakhir pilihan raya. Mungkin kita merasakan lebih baik tenaga dan sumber yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendekati pengundi.

Bagi saya, tekanan tidak wajar dikendurkan, malah perlu dipertingkat. Semasa pimpinan Pakatan memasuki fasa kempen menyerlahkan imej dan penampilan sebagai "kerajaan menanti", Najib Razak perlu diasak.

Siapa tahu, atas semangat "transformasi politiknya", Najib bersedia melakukan beberapa pembaharuan di saat akhir, termasuk membersihkan proses pilihan raya berkaitan media dan jentera kerajaan ini.

Rumusan Kadir mengenai tuntutan akses media bebas dan penyalahgunaan segala sumber kerajaan cukup menarik perhatian saya -- sekali gus membimbangkan -- dan seharusnya juga kepada aktivis yang menuntut pilihan raya bersih dan adil:

"Selain media bebas, bagi saya, inilah 'point' yang cukup-cukup penting, iaitu menamatkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan apabila turun ke kampung, mereka boleh masuk rumah orang PAS, rumah orang KeADILan. Ya, semua rumah dia boleh masuk. Sebab dia kata dia pegawai kerajaan, dia bukan orang politik.

"Tetapi apabila dia masuk berkampung, maka mulalah secara perlahan-lahan ... berkempen bagi satu pihak (Umno-BN). Dalam waktu itu, mereka ada pula peruntukan yang pelbagai dan mewah. Peruntukan itu wang rakyat, tetapi digunakan untuk kempen, juga buat kenduri dan sebagainya.

"Mereka mungkin dapat masuk rumah sehingga ratusan ribu pengundi, dan mungkin jutaan, di seluruh Malaysia. Jabatan kerajaan (termasuk SB dan anggota tentera) sekarang 'dok melilau' hingga ke Sabah dan Sarawak. Seluruh kampung mereka dah ada. Tiap-tiap hari berkempen, sejak berbulan dah. Ini bermakna jutaan undi dapat dipesongkan ke arah lain."
kERENGGA

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.