Sultan Johor selar pihak tertentu tuduh polis tidak boleh dipercayai
29 Januari 2013
JOHOR BAHRU - Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas tindakan
sesetengah pihak yang menuduh Polis Diraja Malaysia sebagai sudah tidak
boleh dipercayai.
Titah baginda tuduhan yang dilemparkan itu tidak masuk akal dan sangat melampau. "Tindakan itu hanya akan dilakukan penjenayah yang bersalah sahaja
dengan memutar belit fakta selain menyalahkan undang-undang bagi
mengelak diri mereka daripada dihukum," titah baginda semasa mencemar
duli merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya, di sini hari ini.
Lebih buruk lagi titah baginda, ada penjenayah meninggalkan negara
kerana takut berhadapan dengan tindakan undang-undang dan kemudian
membuat tohmahan yang memburukkan negara sendiri.
"Manusia berlidah biawak seperti ini adalah pengkhianat kepada negara.
Jika mereka berkata benar, buktikanlah kebenarannya dan jangan terus
menjadi pengecut, ibarat melontar batu sembunyi tangan," titah baginda.
Turut berangkat isteri baginda Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris
Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris dan Tunku Temenggong Johor
Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis
Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Johor Datuk Mohd
Mokhtar Mohd Shariff dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.
Titah Sultan Ibrahim, Malaysia adalah negara berdaulat dan mempunyai
undang-undang yang digubal rapi serta semua tindakan yang diambil pihak
berkuasa mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Baginda bertitah setiap anggota polis sudah menjalani latihan dan
dilengkapi dengan ilmu pengetahuan untuk menguatkuasakan segala
undang-undang.
Sultan Ibrahim turut memuji polis Johor yang berjaya meningkatkan tahap
keselamatan di negeri itu dan sentiasa memberi pertimbangan kepada
sensitiviti masyarakat serta kepentingan ekonomi. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment