Israel ancam serang Syria
Sistem pertahanan Iron Dome ini juga pernah digunakan semasa Perang Israel-Gaza pada November lalu. Foto: EPA
 
TEL AVIV - Israel, kelmarin mengancam untuk melancarkan serangan terlebih dahulu ke atas Syria kononnya sebagai langkah untuk mengelakkan senjata kimia milik negara itu jatuh ke tangan kumpulan Al-Qaeda atau Hizbullah di Lubnan.

Amaran itu diumumkan selepas tentera rejim Zionis memindahkan sistem pertahanan antiroket, Iron Dome yang berfungsi untuk menembak jatuh roket jarak dekat ke bandar Haifa di utara negara tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Silvan Shalom berkata, tindakan untuk menyerang Syria itu diputuskan dalam mesyuarat khas pada minggu lalu.

"Jika senjata kimia tersebut jatuh ke tangan musuh, ia pasti akan meningkatkan lagi ketegangan di rantau ini

Kami mungkin perlu mengambil langkah drastik untuk mengelakkan 'serangan' yang bakal mengancam Israel," katanya.

Sebelum ini, Israel pernah menyuarakan kebimbangan mereka jika Presiden Bashar al-Assad hilang kawalan lalu menggunakan senjata kimia milik negara itu.  - AP