Khamis, 3 Januari 2013
Mindef enggan komen projek Puspahanas oleh syarikat Raja Ropiaah
KUALA LUMPUR, 3 Jan — Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul
Latiff Ahmad berkata tidak memiliki maklumat mengenai projek pembangunan
Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang diberikan kepada
Awan Megah (M) Sdn Bhd dan enggan memberikan komen mengenai isu
kontroversi tersebut.
Awan Megah telah diberikan kontrak untuk membina Puspahanas pada 2005 sebagai pertukaran tiga bidang tanah di Bukit Raja dan RM27 juta.
Syarikat tersebut telah menjual tanah tersebut minggu lepas kepada sebuah unit pelaburan dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM130 juta.
“Itu saya tidak ada maklumat, tidak adil lah jika saya buat komen,” kata Abdul Latif.
“Saya rasa lebih baik tidak memberikan sebarang komen jika saya tidak mempunyai sebarang fakta mengenai isu tersebut.”
Tiada mana-mana pegawai rasmi daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) tampil menjelaskan tentang projek tersebut selepas usahawan karpet Deepak Jaikishan menyaman Ketua Wanita Umno Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah pada tahun lepas.
Namun, tidak lama selepas itu Deepak menggugurkan saman tersebut dan syarikatnya, Astacanggih Sdn Bhd telahpun dibeli oleh Boustead Holdings Bhd yang merupakan unit pelaburan LTAT.
Usahawan kontroversi tersebut mendakwa Raja Ropiaah telah memperoleh untuk berlipat ganda menerusi pembelian saham tersebut manakala beliau hanya memperoleh pulangan modal yang dilaburkannya.
0 orang berkata:
Post a Comment