• Polis tahan lelaki bawa bom buatan sendiri  
  • Abd Rahim (tengah) menunjukkan gambar bom buatan sendiri yang dirampas polis, dalam sidang media di IPK Selangor, semalam.
1 / 1
SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki yang membawa sebutir bom buatan sendiri di Taman Halaman, Ampang, Ahad lalu, dipercayai untuk diletupkan ketika sambutan tahun baharu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bom paip itu dirampas ketika suspek berumur 46 tahun itu sedang menunggang skuter dekat lampu isyarat Taman Permai, Ampang, jam 10.25 pagi.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri tetapi ditahan polis selepas skuternya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan di Taman Halaman.

“Polis menemui sebutir bom paip yang mempunyai sumbu bersama mercun botol disyaki bahan letupan buatan sendiri dalam beg sandang yang dibawanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, isi kandungan bom itu yang dimampatkan dengan belerang, paku dan kaca itu boleh mendatangkan kecederaan serius dan berkemungkinan kematian apabila diletupkan.

Suspek, yang dalam keadaan khayal ketika ditahan memberitahu, dia belajar membuat bom menerusi internet.

“Kami masih menyiasat sama ada bom itu akan digunakan pada perhimpunan di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau berkata, polis pergi ke tempat kerja suspek di sebuah kedai peralatan sembahyang dan ke rumah suspek di Serdang, tetapi tidak menemui sebarang bahan dan peralatan membuat bom.

Menurutnya, suspek didapati positif dadah serta ada sembilan rekod jenayah lampau, termasuk kes penyalahgunaan dadah dan samun.

“Suspek direman selama tiga hari bermula kelmarin dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.