• Mohd Khairuddin Othman Mohd Khairuddin Othman
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor mengesahkan masih ada usaha untuk memancing Adun-Adunnya di negeri itu untuk menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya telah mempunyai maklumat lengkap dalang yang terlibat dan tidak teragak-agak mendedahkannya jika usaha itu tidak dihentikan.

"Kita tahu ada lagi usaha untuk memancing Adun kita (Pas) di Selangor.

"Kita ada maklumat lengkap siapa yang terlibat dan kita akan dedahkan nama pelobi ini jika permainan ini tidak dihentikan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihaknya juga menjangka akan lebih banyak aduan dan usul akan dibuat terhadap dua Adun Pas, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) berhubung tindakan mereka membelakangi keputusan parti.

"Pas Selangor menjangka banyak lagi aduan dan usul akan di buat dan dihantar ke Jawatankuasa Disiplin mengenai tindakan yang tidak berdisplin dua Adun kita di Selangor," katanya.

Hari ini, Dewan Ulama Pas Selangor sebulat suara meluluskan usul mengutuk dan mengecam tindakan dua Adun Pas tersebut.

Nasib kedua-duanya diserahkan kepada Pas Pusat untuk tindakan selanjutnya.