• Tengku Razaleigh HamzahTengku Razaleigh Hamzah
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah demi menyelamatkan Umno.

Pemimpin veteran Umno yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Dr Mahathir juga mahu Najib memberikan jawapan terhadap setiap dakwaan terhadapnya yang dibuat pemimpin pembangkang dalam beberapa isu.

Katanya, antara isu tersebut adalah kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang belum terungkai, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembelian pesawat peribadi yang jejaskan sokongan dan kepercayaan rakyat kepada BN.

“Jawapan bukan untuk (Dr Mahathir) sendiri tetapi beliau mahu setiap tuduhan yang dibuat dijawab oleh Najib kepada rakyat,” katanya ketika di lobi Parlimen, semalam.

Menurut Tengku Razaleigh, Dr Mahathir juga mahukan ketelusan dan kebenaran dalam isu yang menyelubungi Najib.

“Sudah tiba masanya jawapan sebenar diberikan dan kebenaran dibongkar.

"Saya yakin Dr Mahathir pasti mempunyai alasan kukuh untuk tampil mempersoalkan perkara demikian. Dr Mahathir merupakan bekas pemimpin yang berpengalaman baik dari segi parti mahu pun pentadbiran negara,” katanya.

Katanya, Dr Mahathir sentiasa mengikuti perkembangan semasa Umno serta BN.

“Dia (Dr Mahathir) mengetahui keadaan semasa politik BN menjelang PRU14 dan risau (dengan keadaan).

“Sekiranya segala persoalan yang dibangkitkan tidak dijawab, keadaan akan bertambah sukar terhadap pemimpin BN untuk meraih sokongan rakyat dan tidak mampu memerintah negara lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

“Apa dikatakan beliau mungkin ada betulnya. Beliau sudah pasti menulis secara berhati-hati dan mempunyai fakta,” katanya.

Shahidan berkata, kenyataan Dr Mahathir tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana melibatkan pemimpin tertinggi Umno.