Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

KESILAPAN BESAR WAN AZIZAH BERTANDING ?

[GAMBAR] Pmtg Pauh: Wan Azizah Ditentang BN & 2 Bebas



Penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh pagi ini berjalan lancar selepas calon Bebas pertama, Isahak Salleh tiba di di Pusat Penamaan Calon PRK Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam di Berapit jam 8.15 pagi.

Ia diikuti calon BN, Suhaimi Sabudin jam 8.45 pagi dan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selang tujuh mint kemudian.

Calon Bebas kedua pula adalah, Azman Shafie yang tiba pada jam 9.05 pagi.

Sehingga jam 9.30 pagi, hanya empat calon berada di pusat penamaan calon.

Proses penamaan calon dijadual berlangsung selama sejam bermula 9 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama-nama calon bertanding.

Difahamkan, salah seorang calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi yang menawarkan diri bertanding semalam telah menarik diri dengan alasan sudah ada calon Bebas lain bertanding.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon hari ini dan pengundian 7 Mei.

Pada PRU lepas, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari BN dengan majoriti 11,721 undi.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

PRK Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dun) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK Dun Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK Dun Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK Dun Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK Dun Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015). -SH




Kenapa Azizah wajar jadi calon

Saya menyokong kuat ketika Anwar Ibrahim dicadangkan untuk menjadi calon pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada tahun lalu. Dan kemudian Anwar akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor. Projek untuk menjadikan Anwar calon ini gagal. Anwar Ibrahim digantikan dengan Wan Azizah.

Justeru, sokongan saya beralih. Tulisan saya beralih. Propaganda dan selebaran saya beralih. Sokongan saya beralih dari Anwar Ibrahim ke Wan Azizah. Saya terus menyokong Dr Wan Azizah dari menjadi calon N25 Kajang hingga ke kerusi menteri besar.

Kali ini secara terbuka saya nyatakan saya mahu dan menyokong Dr Wan Azizah menjadi calon di PRK Permatang Pauh. Saya juga mahu Dr Wan Azizah menang. Tulisan ini adalah tanda pertama dalam usaha saya memberi sokongan ini. Dalam tulisan ini juga saya cuba memberi pencerahan kepada ahli parti dan orang ramai tentang kenapa Wan Azizah wajib dicalonkan di Permatang Pauh.

Saya bukan orang parti. Tetapi saya menyokong langkah untuk menjadikan presiden Parti Keadilan Rakyat sebagai calon P044 di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang akan datang ini. Bagi saya, jika Dr Wan Azizah tidak dicalonkan pada Sabtu 25 hari bulan ini, maka ini kesilapan politik yang amat besar. Saya ulangi, satu kesilapan politik.

Kenapa dan mengapa saya menulis ayat-ayat ini? Apakah saya tidak sedar akan makna dari apa yang saya cadangkan ini?

Saya amat sedar tentang apa yang saya tulis ini. Malah saya menulis untuk memperluaskan lagi kesedaran saya ini. Saya mahu mempengaruhi para pengundi di Permatang Pauh dan juga sesiapa sahaja yang tidak faham kenapa Dr Wan Azizah wajib menjadi calon.

Pandangan saya, Dr Wan Azizah Wan Ismail wajib menjadi calon kerana Anwar Ibrahim. Sebab utama kenapa Dr Wan Azizah dicalonkan ialah Anwar Ibrahim. Bila saya menulis ini mungkin ada sosok-sosok yang beranggapan bahawa saya ini 'tukang kipas' atau ' kaki bodek'. Ini satu kesilapan membaca politik. Bodek dan kipas bukan mazhab politik saya.

Ketika saya menulis ini Anwar Ibrahim dalam penjara. Anwar Ibrahim dipenjara atas tuduhan meliwat. Ini satu tuduhan lawak. Ramai yang ketawa apabila membaca tuduhan ini. Kalau tidak percaya siapa ketawa, sila tanya Hishammuddin Hussein, menteri pertahanan kita. Atau sila pergi tanya menteri besar Johor Khaled Nordin. Mereka ketawa atau tidak ketika Anwar dijatuhkan hukuman kerana liwat? Jika masih belum puas ketawa sila tanya YB Azalina Osman wakil Pengerang.

Dalam bacaan politik yang betul, Anwar Ibrahim sengaja dipenjarakan kerana Anwar telah belot bukan kerana Anwar meliwat. Kata kunci di sini ialah belot dan bukan liwat.

Anwar Ibrahim ialah bekas timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden parti United Malays National Organisation. Selama 16 tahun Anwar Ibrahim telah bergelumang dalam sarang penyamun dan perompak. Anwar tahu cara menyamun dan merompak. Anwar akhirnya belot pada tahun 1998. Anwar tidak mahu lagi bersama gerombolan penyamun dan perompak.

Pembelotan Anwar ini menyebabkan gerombolan penyamun dan perompak ini hilang Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Gerombolan ini juga hilang kuasa majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Paling menyedihkan ialah kehilangan Selangor – wilayah terkaya di Malaysia dan terkaya di Asia Tenggara. Selangor – yang semenjak zaman berzaman menjadi lubuk emas serta tempat mencari dan menjual projek. Kini Selangor dikawal dan ditadbir oleh Pakatan. Semua ini terjadi kerana Anwar Ibrahim. Semua ini berlaku kerana Anwar belot.


Justeru Anwar wajib dipadamkan dari nyawa dan badan politik Melayu-Islam-Bumiputera. Anwar wajib dimatikan dari politik Malaysia. Anwar Ibrahim wajib dihapuskan dari nadi politik Asia Tenggara. Anwar Ibrahim wajib dihilangkan dari politik negara-negara Islam. Anwar Ibrahim wajib diketepikan dari arena politik antarabangsa. Jalan terbaik ialah menuduh Anwar meliwat. Jalan terbaik ialah Anwar wajib disimpan dalam penjara.

Memenjarakan Anwar Ibrahim di Sungai Buluh bermakna memadamkan nama Anwar Ibrahim dari ingatan anak anak muda Malaysia. Generasi yang teringat akan Anwar bertugas sebagai menteri pelajaran, sebagai menteri kewangan atau sebagai timbalan perdana menteri masih ada tetapi ingatan ini semakin susut. Tidak sesegar 1998.

Justeru memenjarakan Anwar Ibrahim, once and for all, untuk sekali rembat, nama Anwar Ibrahim akan dihapuskan dari mulut politik rakyat Malaysia.

Cita-cita United Malays National Organisation ialah memadamkan Anwar Ibrahim dari ingatan. Memenjarakan Anwar Ibrahim dapat menjadikan pengaruh politik sosok Anwar yang telah memporak perandakan United Malays National Organisation ditamatkan.

Ingatan kolektif tentang Anwar Ibrahim wajib dilupuskan. Generasi muda, anak pelajar, anak mahasiswa, akan tidak tahu sama sekali sosok yang bernama Anwar Ibrahim ini. Semua wajib digelapkan.

Sesiapa yang membaca Salalatus Salatin atau Sejarah Melayu akan teringat akan sultan Melaka. Jika sultan murka maka si polan yang menjadi sasaran akan dibunuh satu keluarga. Tidak cukup dengan ini sultan akan memerintahkan agar rumah si polan ini dibuang ke laut. Tidak cukup dengan ini tapak rumah juga akan dibuang ke laut.


Kezaliman ini terjadi di zaman kerajaan Melayu Melaka. Hari ini jika boleh, Anwar Ibrahim, anak anak dan kaum keluarga Anwar Ibrahim juga akan dibuang ke laut dan termasuk rumah-rumah mereka sekali. Inilah sebenarnya cita-cita dan niat gerombolan Ketuanan Melayu. Inilah cara terbaik untuk menghapuskan nama Anwar Ibrahim dari pentas politik Malaysia.

Kerana ini niat United Malays National Organisation, maka apa sahaja niat gerombolan ini maka kita wajib lakukan sebaliknya. Jika gerombolan ini mahu hitam kita wajib mahu putih. Jika gerombolan ini mahu babi maka kita wajib mahu harimau. Jangan sesekali kita terperangkap dengan niat dan cita-cita mereka.

Dr Wan Azizah adalah Anwar Ibrahim. Wan Azizah mewakili Permatang Pauh bermakna Anwar Ibrahim masih lagi mewakili Permatang Pauh. Jika tidak ada Wan Azizah maka kita calonkan Nurul Izah. Jika bukan Nurul jika calonkan Nurul Nuha. Apakah ini keterlaluan?

Tidak, ini bertujuan untuk kita terus menghidupkan nama Anwar Ibrahim dalam persada politik Malaysia dan politik antarabangsa.

Apakah para pembaca terlupa, apabila Nurul Izzah dilokap di Jinjang, sebanyak 35 media besar dunia telah menulis dan melapor “daughter of Anwar Ibrahim detained” (anak Anwar Ibrahim ditangkap). Dalam perang propaganda politik ini yang kita mahukan.

Saya sedar ada yang beranggapan jika Wan Azizah menjadi calon ini adalah amalan kroni. Parti Keadilan Rakyat akan dilihat parti kaum keluarga. Memang betul Wan Azizah ialah isteri kepada Awar Ibrahim. Kita tidak mencalonkan Siti Saodah penjual nasi lemak dari Kubang Semang. Kita calonkan Dr Wan Azizah kerana dia isteri Anwar. Kita mengangkat Nurul Izzah atau Nurul Nuha kerana mereka anak Anwar Ibrahim.

Kita lakukan ini dengan penuh kesedaran politik. Kita pilih mereka dengan kesedaran politik dan strategi untuk menumpaskan cita-cita jahat United Malaya National Organmistion yang merancang untuk menghapuskan nama Anwar Ibrahim.

Gerombolan Ketuanan Melayu tahu bahawa Wan Azizh adalah calon menang untuk PKR. Justeru mereka berharap PKR akan jadi bodoh untuk meletakkan Mak Jah dari Kampung Mengkuang Mati sebagai calon.

Kepada yang menganggap Dr Wan Azizah ini adalah calon kroni, sebenarnya mereka ini tidak faham tahap perkembangan sosioekonomi Tanah Melayu. Mereka termakan propaganda sengkek akhbar United Malays National Organisation.

Harus diakui pada hari ini - tahun 2015 - Tanah Melayu masih lagi di tahap ekonomi separuh feudal dan separuh kolonial. Tahap ini bukan sahaja di Tanah Melayu, malah watak ekonomi ini wujud di Indonesia, Sri Lanka, India, Bangladesh atau Pakistan. Tahap ekonomi sebegini melahirkan budaya separuh feudal dan separuh kolonial.

Dalam budaya separuh feudal ini nama keluarga amat penting. Pertalian darah amat penting. Justeru di Pakistan kita ada keluarga Bhutto, di India kita ada Ghandi, di Bangladesh kita ada Mujibur. Di Indonesia kita ada Megawati, di Filipina kita ada Macapagal dan Aquino. Di Tanah Melayu kita ada Najib, Hishamuddin, Khairy Jamaluddin, Lim Guan Eng, Dr Tan, Nurul Izzah, Gobind Singh, Affendi Nawawi, Musa Aman dan Kitingan.

Nama-nama ini adalah pemain politik dalam negara kita. Mereka ini muncul dari budaya feudal.

Bukan satu jenayah untuk dilahirkan sebagai anak atau menantu perdana menteri. Bukan juga jenayah jika dilahirkan dalam keluarga politik. Inilah hakikat tahap sosiobudaya dalam negara kita pada ketika ini. Tahap ini wajib kita lalui dan kita terima.

Apakah ini budaya yang baik? Untuk saya pada ketika ini bukan persoalan sama ada ini baik atau tidak. Untuk saya pada tahap ini yang wajib kita bincangkan ialah bagaimana boleh menggunakan jalur budaya ini untuk menumbangkan kerajaan United Malays National Organisation.

Tujuan kita menumbangkan kuasa parti ketuanan Melayu ini ialah untuk melahirkan budaya keunggulan sosok yang berfikrah. Sosok yang dijadikan pemimpin kerana keupayaan, kerana merit bukan kerana nama keluarga atau kerana menantu PM, anak PM atau anak menteri.

Mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ismail di P044 Permatang Pauh adalah sebahagian dari perancangan jangka panjang untuk menggagalkan rancangan jangka pendek United Malaya National Organisation. Rancangan jangka pendek gerombolan Ketuanan Melayu ialah agar kita semua melupakan Anwar Ibrahim. -Hishamuddin Rais/mk



0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.