• Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
KUALA LUMPUR - Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara atas kesalahan liwat, tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.
  
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu terkandung dalam undang-undang yang antaranya menerangkan bahawa orang gila, tidak siuman serta banduan tidak boleh mengundi.
  
"Mengikut undang-undang SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), ada beberapa syarat termasuk had umur dan kategori orang yang dibenarkan mengundi dan tak dibenarkan, antaranya orang gila, tidak siuman dan para banduan.
  
"Saya telah lakukan penyemakan bahawa tidak ada banduan yang dibenarkan untuk mengundi. Itu bukan saya kata, itu undang-undang kata," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
  
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kawasan itu setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui ahli keluarganya.
  
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya. - Bernama